Penduduk Taman Bukit Permai 1 ambil langkah berjaga-jaga

Lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku petang semalam di Taman Bukit Permai 2 Ampang. - Foto Bernama
Lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku petang semalam di Taman Bukit Permai 2 Ampang. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penduduk di Taman Bukit Permai 1 yang terletak berhampiran lokasi kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang menyifatkan kawasan mereka selamat untuk diduduki.

Lokasi Taman Bukit Permai 1, terletak di atas cerun yang runtuh dalam kejadian yang meragut empat nyawa dan menyebabkan seorang cedera ringan petang Khamis.

Seorang penduduk Taman Bukit Permai 2, yang hanya mahu dikenali sebagai Ooi, 66, berkata dia dan isterinya tidak berhasrat untuk mengosongkan rumah kerana belum ada arahan daripada pihak berkuasa, namun mereka mengambil langkah berjaga-jaga dan peka dengan sebarang arahan atau pengumuman oleh pihak berkuasa.

"Saya menetap di sini sejak 2006 bersama isteri dan ini adalah kejadian pertama yang berlaku.

"Walaupun tidak berpindah tetapi kami mengambil langkah berjaga-jaga dan saya rasa rumah ini masih selamat... berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika ditemui di sini pada Jumaat.

Ooi berkata rumahnya terletak kira-kira 20 meter dari bahagian atas cerun yang runtuh dan dimaklumkan oleh pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bahawa laluan di tepi rumahnya ditutup sebagai langkah keselamatan sejak pagi Jumaat.

Seorang lagi penduduk Taman Bukit Permai 1, Zulkifli Mohd Isa, 49, berkata penduduk diminta mengalihkan kenderaan yang selalunya di parkir berhampiran cerun sejak pagi Jumaat sebelum laluan itu ditutup sepanjang 200 meter.

"Setakat ini kami tidak berhasrat untuk berpindah,” katanya yang telah 10 tahun menetap di kawasan itu dan sepanjang tempoh itu tidak pernah berlaku kejadian tanah runtuh.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang bekerja sebagai penghantar makanan, berkata apa yang pernah berlaku di kawasan itu adalah kejadian bongkah batu terjatuh di kawasan pangsapuri berhampiran.

Tinjauan Bernama di kawasan perumahan Taman Bukit Permai 1, di sini mendapati MPAJ menutup satu laluan sejauh 200 meter berhampiran cerun runtuh, dipercayai sebagai langkah keselamatan susulan kejadian itu.

Aktiviti penduduk di kawasan itu dilihat berjalan seperti biasa, namun mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan peka arahan semasa pihak berkuasa. - Bernama