Dua beradik disyaki terlibat kes penipuan RM3.29 juta diberkas

Abdul Majid (kanan) menunjukkan gambar dua beradik yang disyaki terlibat kes penipuan ketika sidang akhbar di IPK Melaka di Bukit Beruang pada Jumaat.
Abdul Majid (kanan) menunjukkan gambar dua beradik yang disyaki terlibat kes penipuan ketika sidang akhbar di IPK Melaka di Bukit Beruang pada Jumaat.
A
A
A

MELAKA - Polis menahan dua beradik dipercayai terlibat kegiatan penipuan sejak tahun 2005 membabitkan nilai kerugian RM3.29 juta termasuk penipuan jualan jongkong emas dan lampin pakai buang bayi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kedua-dua suspek iaitu lelaki dan adik perempuannya masing-masing berusia 38 dan 36 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Ayer Keroh pada Selasa lalu.

Menurutnya, hasil risikan dan soal siasat mendapati suspek lelaki telah menjalankan 75 kegiatan penipuan sejak tahun 2005 di seluruh negara dengan menggunakan pelbagai modus operandi melibatkan kerugian berjumlah RM3.29 juta.

"Antara penipuan yang dijalankan termasuk urusan membeli kereta, komputer riba tidak wujud, perniagaan sewa kereta, pakej pelancongan dan pembelian jongkong emas.

"Kedua-dua suspek juga dipercayai terlibat kegiatan penipuan jualan lampin pakai buang sejak enam tahun lalu membabitkan kerugian sehingga RM838,000," katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan.

Abdul Majid berkata, polis menerima laporan daripada dua penjawat awam yang terpedaya dengan tawaran lampin pakai buang murah ditawarkan suspek menerusi Facebook pada tahun 2016.

"Selepas memperdayakan mangsa, suspek akan berpindah randah ke beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Johor dan Selangor bagi mengelak diri dikesan polis.

Artikel Berkaitan:

"Setelah mangsa membuat bayaran melalui akaun yang diberikan, mangsa dijanjikan akan menerima barangan yang ditempah dalam tempoh tujuh hari.

"Namun selepas tempoh tersebut, suspek gagal dihubungi dan terus menghilangkan diri," katanya.

Menurut beliau, modus operandi kes berkenaan ialah suspek akan memberikan lampin pakai buang pada pembelian pertama mangsa supaya pembeli percaya.

"Seterusnya apabila mangsa membuat tempahan lagi, mereka akan memberi alasan kehabisan stok dan menghilangkan diri," katanya.

Beliau berkata, suspek utama direman selama empat hari manakala adiknya yang berperanan sebagai pemilik akaun telah diberikan jaminan polis selama sebulan.

"Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.