Tidak letak calon MB, PN tahu akan kalah: Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tengah) ketika cuba dipakaikan bunga rampai oleh wakil MIC selepas lawatannya di Bilik Gerakan MIC Johor di Tampoi pada Jumaat.
Ahmad Zahid (tengah) ketika cuba dipakaikan bunga rampai oleh wakil MIC selepas lawatannya di Bilik Gerakan MIC Johor di Tampoi pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa tindakan Perikatan Nasional (PN) yang sehingga kini masih belum menamakan calon Menteri Besar mereka adalah kerana parti itu tidak yakin mampu memperoleh kemenangan.

Beliau berkata, perkara itu juga dilihat dengan ketidaksediaan PN ketika menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang hanya menampilkan wajah Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bahan utama kempen.

“Dari awal sehingga akhir ini, saya hanya melihat wajah ‘abah’ (Muhyiddin), calonnya kecil sahaja. Kempen mereka 'Abah Prihatin' yang digunakan sedangkan dia bukan bertanding kali ini.

“Kita dari awal sudah menyebutkan siapa 'poster boy' kita, siapa Menteri Besar kita akan lantik tetapi PN atau Pakatan Harapan (PH) sehingga kini tidak menamakan calon mereka, kerana mereka tahu mereka akan kalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas membuat lawatan di Bilik Gerakan MIC Johor, Tampoi, di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya tetap memilih calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Hasni Mohammad seperti yang sudah dipersetujui kerana prestasi ditunjukkan beliau sebelum ini semasa menjadi Menteri Besar Johor.

Dalam pada itu, pada majlis sama, beliau berkata, BN mempunyai keyakinan tinggi pada PRN Johor kali ini selepas melihat penerimaan yang baik daripada rakyat khususnya pengundi Cina dan India.

“Kini kurang 24 jam untuk menemui seramai mungkin atau membalas isu atau tohmahan yang bukan sahaja dilemparkan kepada tokoh UMNO tetapi BN khususnya.

Artikel Berkaitan:

“Kita melihat hari ini pengundi telah memihak kepada BN. Pengundi Cina berubah arah kerana sedar akan kesan kepada pilihan mereka yang terdahulu.

"Apa pun saya juga mahu berterima kasih kepada pengundi India yang menunjukkan trend peningkatan tinggi,” katanya.