Covid-19: 30,787 kes baharu, 26,457 sembuh

Sebanyak 30,563 kes yang dilaporkan terdiri daripada kategori satu dan dua. Gambar hiasan.
Sebanyak 30,563 kes yang dilaporkan terdiri daripada kategori satu dan dua. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 30,787 kes baharu Covid-19 pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif kes adalah sebanyak 3,741,986.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 30,563 kes yang dilaporkan terdiri daripada kategori satu dan dua iaitu tidak mempunyai gejala serta bergejala ringan manakala 224 kes lagi adalah kategori tiga hingga lima.

“Daripada jumlah kes baharu ini juga, sebanyak 30,179 adalah kes tempatan manakala 608 lagi kes import,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 224 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 58 kes atau 25.89 peratus dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“94 kes atau 41.96 peratus sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak manakala 72 kes pula sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 122 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan 96 kes mempunyai komorbid serta dua kes melibatkan ibu mengandung,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 26,457 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh kini sebanyak 3,393,999.

Menurutnya, bagi kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) pula adalah seramai 389 orang dengan 229 lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, enam negeri mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil kes kritikal atau ICU iaitu Kelantan (79 peratus), Johor (68 peratus), Putrajaya (67 peratus), Kuala Lumpur (62 peratus), Selangor dan Pulau Pinang (57 peratus).

“Bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), hanya satu negeri sahaja menunjukkan peratusan lebih 50 peratus iaitu Melaka (60 peratus),” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, empat lagi kluster baharu telah dikenal pasti manakala jumlah kluster yang masih aktif adalah 419.

Tambah beliau, kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara adalah 1.04 dengan Sarawak mencatatkan nilai tertinggi iaitu 1.37, diikuti Kuala Lumpur (1.16), Terengganu (1.15), Perak (1.10), Negeri Sembilan (1.07), Kedah (1.05), Selangor (1.04), Pahang dan Pulau Pinang masing-masing (1.03), Putrajaya (1.02) manakala lain-lain negeri mencatatkan Rt bawah 1.0.