Sila log masuk terlebih dahulu.

Usaha PN atasi masalah pencemaran

Dr Karim bertemu orang ramai semasa berkempen di pekan Tiram, Johor Bahru.
Dr Karim bertemu orang ramai semasa berkempen di pekan Tiram, Johor Bahru.
A
A
A

PASIR GUDANG - Isu pencemaran menjadi antara masalah yang kerap dibincangkan oleh masyarakat kita. Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri memandang serius akan perkara tersebut dan merangka lima strategi untuk memastikan sumber air diurus dengan baik, selamat dan terjamin untuk generasi masa hadapan.

Ketika dalam ucapan sempena Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Kebangsaan, Muhyiddin berharap agar rakyat dapat merealisasikan lima strategi untuk bersama-sama menghargai air.

“Antara lima strategi itu termasuklah menjaga kelestarian sumber air dengan tidak mencemarkan saliran dengan bahan buangan seperti sisa pepejal, kumbahan dan sebagainya dengan memastikan semua air sisa itu dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke sungai,” kata Muhyiddin.

Untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Perikatan Nasional (PN) turut tidak mengabaikan isu berkenaan dengan menekanan kecekapan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar iaitu tunjang keenam serta kelapan dalam Ikrar PN untuk memberi harapan baharu kepada penduduk di daerah ini khususnya kawasan Tiram.

Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Dr Karim Deraman berkata, dua tunjang dalam ikrar PN itu akan menjadi penyelesaian kepada masalah infrastruktur dan pencemaran kilang yang berada dalam kawasan tersebut.

Dr Kiram
Dr Kiram

"Fokus dan perkara utama adalah untuk meningkatkan infrasturkur iaitu selari dengan Ikrar PN. Kita mahu perbaiki jalan dan laluan utama di kawasan Cahaya Baharu, Kota Masai dan Kampung Pasir Putih.

Artikel Berkaitan:

"Sebabnya kalau kita lihat jalan yang sedia ada sempit dan sesak, boleh dilihat setiap hari antara jam 6.30 hingga 7 pagi, aliran trafik di laluan berkenaan sangat sibuk.

"Jadi apabila menang nanti kita akan realisasikan ikrar tersebut dengan membawa masalah ini kepada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk diselesaikan," katanya ditemui pemberita ketika berkempen di Kampung Tanjung Langsat di sini.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor berkata, perkara kedua yang akan dilakukan adalah mencari penyelesaian pencemaran kilang-kilang di daerah ini yang berada di bawah DUN Tiram.

Katanya, masalah lebih 5,000 kilang di daerah ini ialah tidak mempunyai mempunyai kilang khas atau pusat pelupusan sisa kimia.

Petugas menunjukkan daya kreatif tersendiri apabila bendera Perikatan Nasional dihiasi dengan unik dalam bentuk wau di Pulai Sebatang, Pontian.
Petugas menunjukkan daya kreatif tersendiri apabila bendera Perikatan Nasional dihiasi dengan unik dalam bentuk wau di Pulai Sebatang, Pontian.

Dr Karim mendakwa, disebabkan masalah itu terdapat kilang-kilang yang tidak bertanggungjawab membuang sisa berkenaan ke sungai dan laut berdekatan sekali gus mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

Menurutnya, kilang khas atau pusat pelupusan sisa kimia perlu dibina di daerah ini dalam usaha menangani masalah pencemaran sungai dan laut yang berpunca daripada sisa atau bahan buangan industri.

Jelasnya, kemudahan rawatan sisa buangan bersepadu lengkap dengan teknologi terkini dan mesra alam amat wajar dipertimbangkan ketika ini.

"Jika ada kemudahan seperti ini, kilang dan pusat berkenaan akan dapat mengurus semua sisa buangan kimia terjadual dengan lebih cermat dan teratur. Cadangan ini wajar dipertimbangkan kerana banyak kilang di Pasir Gudang," katanya.

Reaksi

Rosman
Rosman

"Kita harap apabila PN menang, Ikrar PN akan mengubah wajah kampung ini. Peruntukan dapat diberikan secara adil di semua kawasan kerana didapati sumbangan sebelum ini tidak telus." Rosman Rosli, 49.

"Masalah pencemaran di kampung ini yang sudah berlarutan perlu ditangani segera. Masalah pencemaran di Sungai Tiga dan sebuah kilang gula berdekatan kampung ini sudah lama menghantui penduduk." Mohd Hisham Md Jelani, 38.

Sabariah
Sabariah

"Saya yakin ketokohan dan personaliti calon PN DUN Tiram, Dr Karim Deraman mampu merealisasikan dua tunjang berkenaan. Beliau semasa menjadi aktivis dikenali masyarakat sebagai seorang yang rajin bekerja." Sabariah Mohd Amin, 61.

"Apabila masalah pencemaran di kampung ini dapat diatasi, saya yakin lebih ramai orang luar akan datang ke sini kerana kawasan di sini cantik dan sebelum ini terkenal dengan hasil laut yang segar." Abdul Wahab Kajat, 56.

"Penduduk harapkan jalan utama ke Jeti Kampung Tanjung Langsat dapat dibesarkan apabila PN menang kerana laluan sedia ada sangat sempit." Mohamad Nizat Ali Hassan, 39.

Sungip Awee
Sungip Awee

"Apabila PN menang dan melaksanakan ikrar mereka, akan dapat memberikan keadilan kepada semua penduduk. Inilah cara Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri yang bantu segenap lapisan rakyat ” -Sungip Awee, 68.