Wang simpanan RM560,000 lesap

No Image Caption
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang bekas pegawai pemasaran berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM560,000 'lebur' diperdaya sindiket Macau Scam.

Difahamkan, mangsa berusia 71 tahun itu menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak pada Isnin lalu.

Suspek berjaya memperdaya mangsa dengan mengatakan mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, mangsa yang bimbang dengan dakwaan suspek itu kemudian telah memindahkan wang simpanannya ke akaun bank yang diberikan suspek.

"Suspek turut mendakwa akan memulangkan wang tersebut sebaik siasatan selesai.

“Bagaimanapun, selepas mangsa memindahkan wangnya, baru dia tersedar apabila mendapati dirinya telah terpedaya sebelum membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 60 tahun di sebuah bank di ibu negara petang tadi ketika mengeluarkan wang berjumlah RM250,000.

Katanya, penahanan itu dibuat susulan kecurigaan pihak bank yang mendapati suspek membuat pengeluaran dengan jumlah yang sama sehari sebelum.

Artikel Berkaitan:

"Polis turut dirampas satu buku bank serta resit transaksi pengeluaran. Suspek yang bekerja di pasar malam itu ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.