Sila log masuk terlebih dahulu.

Masa Pan-gon bereksperimen

Kim Pan-gon masih mengekalkan khidmat 15 pemain skuad Kejuaraan Piala AFF 2020 di Singapura pada Disember lalu, dalam kalangan 30 pemain bagi menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya yang bermula Isnin depan.
Kim Pan-gon masih mengekalkan khidmat 15 pemain skuad Kejuaraan Piala AFF 2020 di Singapura pada Disember lalu, dalam kalangan 30 pemain bagi menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya yang bermula Isnin depan.
A
A
A

PENGENDALI baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon masih mengekalkan khidmat 15 pemain skuad Kejuaraan Piala AFF 2020 di Singapura pada Disember lalu, dalam kalangan 30 pemain bagi menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya yang bermula Isnin depan.

Tonggak Harimau Malaya yang masih menjadi sandaran pengendali berusia 52 tahun itu terdiri daripada Syahmi Safari, Aidil Zafuan Abd Radzak, Shahrul Saad, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Khairulazhan Khalid, Quentin Cheng, Faisal Halim, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Kogileswaran Raj, Syafiq Ahmad, Dominic Tan, Luqman Hakim Shamsudin dan Dion Cools.

Ternyata pengendali kelahiran Korea Selatan itu percaya kelompok dalam kalangan pemain yang menggalas cabaran negara di kejuaraan tersebut masih mampu memberi impak positif walaupun dikritik hebat selepas tampil persembahan mengecewakan di republik berkenaan pada Disember lalu.

Pemilihan barisan pemain Harimau Malaya kali ini juga penting dalam kalangan komuniti bola sepak tempatan dalam misi menebus kembali maruah skuad kebangsaan susulan kegagalan mencapai sasaran mara ke perlawanan akhir selepas ditunjukkan jalan keluar apabila tewas 1-4 kepada Indonesia dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional Singapura.

Kekalahan besar meruntun jiwa dalam kalangan pemain ke-12 negara tersebut sekali gus menafikan impian skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe ketika itu untuk mara ke separuh akhir, setelah menamatkan saingan di tempat ketiga apabila hanya mengumpul enam mata daripada empat perlawanan.

Namun, apabila Pan-gon sejak awal lagi melaungkan keazaman untuk membawa Malaysia layak ke pentas Piala Dunia suatu masa nanti yang disifatkan sebagai langkah berani, ia sekali gus memberi sinar baharu kepada komuniti bola sepak tempatan selepas kemarau kejuaraan besar sekian lama.

Tebus maruah

Pemilihan para pemain bagi tiga persediaan aksi persahabatan berdasarkan pemerhatian barisan kejurulatihan dalam dua aksi Liga Malaysia (Liga-M) yang menyingkap tirai sejak dua minggu lalu termasuk penilaian statistik dari 2019 hingga 2021 menerusi rakaman video skuad Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

Ini sekali gus membuktikan keseriusan Pan-gon yang mahu menerapkan mentaliti menang dalam kalangan jiwa pemain Harimau Malaya sekali gus membuktikan kunjungan ke Singapura kali ini bukan kunjungan biasa-biasa sebaliknya kunjungan menebus maruah.

No Image Caption

Pemilihan 30 pemain diperkuatkan dengan 14 pemain penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi menyertai kem latihan pusat bertujuan mengharungi dua perlawanan antarabangsa Tier 1 (FAS Tri-Nations Series 2022) bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura (26 Mac).

Selain itu, perlawanan persahabatan bertemu kelab Liga Singapura (S-Legue), Albirex Niigata FC pada 28 Mac 2022, ketiga-tiganya berlangsung di Singapura, sebagai persediaan mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 pada awal Jun depan.

Kembalinya watak-watak penting berpengalaman pada saingan kompetitif seperti Farizal Marlias, Corbin-Ong, Syamer Kutty Abba, Nazmi Faiz Mansor, Mohamadou Sumareh juga memberi harapan baharu untuk skuad kali ini.

Gandingan lama dan baharu Nathanniel Shio Hong Wan, Ramadhan Saifullah Usman, Shahrul Nazeem Zulpakar, Rahadiazli Rahalim, Mohamad Hakimi Abdullah, Darren Lok, Khair Muhammad Jefri Jones, Nor Azam Azih termasuk Liridon Krasniqi juga merupakan petanda positif.

Tambah menarik, Pan-gon juga menyandarkan semula kepada pengalaman bekas ketua Harimau Malaya, Safiq Rahim yang kali terakhir menyarung jersi skuad kebangsaan pada 2018 lalu.

Namun, Guilherme De Paula yang menerima kritikan dalam kalangan warga maya berikutan aksi bersahaja ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan saingan Piala AFF 2020, tidak disenaraikan kali ini yang boleh disifatkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai pemain muda bersaing.

Apapun para pemain ke-12 pastinya ternanti-nanti impak adunan ramuan dalam kalangan para pemain Harimau Malaya yang akan dipersembahkan Pan-gon berdasarkan acuan taktikal dan gaya permainan pengendali dari Korea Selatan tersebut.

* Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Sukan Sinar