Mahu SuperKIP ulang pencapaian di Argentina

Khairul Idham Pawi
Khairul Idham Pawi
A
A
A

PASUKAN Petronas Yamaha SRT berharap pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi dapat mengulangi pencapaian podium tiga tahun lalu di Litar Temas de Rio Hondo, pada pusingan kedua MotoGP Dunia di Grand Prix (GP) Argentina, 31 Mac ini.

Prinsipal pasukan, Datuk Razlan Razali berkata, pelumba tersebut telah melakukan banyak perubahan pada corak tunggangan serta pecutannya adalah setanding dengan pelumba di kelompok utama pada GP Qatar, dua minggu lepas,

Namun, katanya, pelumba itu masih mempunyai banyak ruang untuk memperbaiki prestasi selepas menduduki tempat ke-17 dalam aksi pembukaan di GP Qatar di Litar Antarabangsa Losail, Doha.

Khairul Idham atau nama gelarannya SuperKIP pernah mencetuskan fenomena dalam kemunculan sulungnya di Moto3 apabila memenangi GP Argentina dan GP Jerman pada 2016.

Bagaimanapun, pencapaian pelumba itu di GP Qatar musim ini cukup baik berbanding meraih tempat ke-23 di litar itu musim lalu, katanya kepada media di sini hari ini.

Razlan, yang juga ketua pegawai eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), berkata, pada keseluruhannya pasukan itu telah menampilkan prestasi memuaskan pada saingan pembukaan MotoGP Dunia di Oatar.

Bagaimanapun, katanya, beliau kecewa dengan pelumba Itali, Franco Morbidelli, yang gagal menepati jangkaan dalam kelas MotoGP apabila mengutip lima mata dengan menghuni tempat ke-11.

Rakan sepasukan, Fabio Quartarao dari Perancis, menduduki tempat ke-16.

Artikel Berkaitan:

Bagi saingan di GP Argentina dari 29 hingga 31 Mac ini, Razlan berharap pasukan tersebut akan meneruskan momentum dan yakin mempunyai peluang untuk melakukan aksi yang terbaik.

“Sasaran kita tetap sama untuk muncul sebagai pasukan satelit terbaik musim ini,” katanya. - Bernama