Bursa Malaysia dibuka rendah

No Image Caption
A
A
A
BURSA Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan kurangnya minat belian, kata seorang peniaga.

Pada jam 9.04 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.83 mata kepada 1,686.16 daripada penutup Selasa pada 1,694.99.

Indeks dibuka lemah 11.41 pada 1,683.58. Pasaran secara keseluruhan, rugi mengatasi untung 244 kepada 44, dengan 103 kaunter tidak berubah, 1,478 tidak didagangkan dan 21 lagi digantung.

Jumlah dagangan adalah 107.17 juta unit bernilai RM62.01 juta. Peniaga berkenaan berkata, saham Asia susut pada dagangan awal kerana kelegaan yang tercetus sebelum ini berikutan perdamaian perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, mengurangkan keraguan.

"Bagaimanapun, pelabur bimbang sama ada kedua-dua ekonomi itu akan benar-benar dapat menyelesaikan perbezaan antara mereka sebelum tarikh akhir 90 hari.

Presiden Donald Trump mungkin memanjangkan perdamaian perang perdagangan itu,” tambahnya.

Sementara itu, tempoh dagangan bagi beberapa bursa AS akan lebih pendek hari ini bagi menghormati mendiang Presiden George H.W. Bush.

Pengeluar bahan pelekat industri, Techbond Group Bhd, memulakan dagangan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, dibuka pada 80.5 sen dan merekodkan premium 14.5 sen melepasi harga terbitan 0.66 sen.

Dagangan pertama dengan sebanyak 10.1 juta saham. Pada 9.04 pagi, saham berkenaan meningkat 16.5 sen kepada 82.5 sen dengan 24.08 juta saham didagangkan.
Artikel Berkaitan:


Antara lain yang aktif, Hibiscus Petroleum susut tiga sen kepada RM1.08, Sapura Energy susut setengah sen kepada 34 sen, Genting Malaysia susut tiga sen kepada RM2.93 dan Velesto Energy susut satu sen kepada 21.5 sen.

Indeks FBM Emas Shariah susut 75.32 mata kepada 11,682.35, FBM 70 susut 104.94 mata kepada 13,500.76 dan Indeks FBM Ace lemah 57.37 mata pada 4,747.91.

Indeks FBM Emas susut 69.93 mata kepada 11,632.06 dan Indeks FBMT 100 susut 67.04 mata kepada 11,504.94.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 47.99 mata kepada 6,888.97, tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.46 mata pada 169.93, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 61.01 mata kepada 17,385.21.- Bernama