Sila log masuk terlebih dahulu.

GRS kemuka pendaftaran sebagai gabungan politik

Masidi
Masidi
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengemukakan pendaftaran untuk menjadi sebuah gabungan politik yang sah kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dua minggu lepas, kata Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu berkata, pada masa ini GRS sedang menyediakan beberapa perkara yang diminta RoS dan berharap pendaftaran gabungan itu akan diselesaikan secepat mungkin.

"Kita masih tunggu (proses pendaftaran), mereka (RoS) ada minta 'butiran lanjut' tetapi kami masih belum berikan lagi,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak dan dos penggalak di Wisma Innoprise di sini, pada Khamis.

Pada 26 Februari lepas, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS dilaporkan berkata gabungan itu akan didaftarkan dalam masa terdekat bagi memastikan kerjasama antara parti politik yang mendukung kerajaan negeri pada masa ini dapat terus dimantapkan.

Hajiji berkata, pendaftaran GRS sebagai gabungan politik yang sah atas kemahuan parti komponen juga adalah bagi memastikan usaha kerajaan negeri menjaga kepentingan rakyat Sabah berjalan lancar.

GRS dianggotai parti daripada Perikatan Nasional (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah, PAS dan Gerakan), Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah) dan Parti Bersatu Sabah. - Bernama

Artikel Berkaitan: