Selepas rumput karpet, bunga lalang pula jadi tumpuan

Nurul Sofia kanan dan Alia berswafoto di kawasan bunga lalang yang tumbuh meliar.
Nurul Sofia kanan dan Alia berswafoto di kawasan bunga lalang yang tumbuh meliar.
A
A
A

KUALA KETIL - Selepas fenomena jerami gulung dan rumput karpet tular di media sosial, kali ini padang yang dipenuhi bunga lalang menjadi tumpuan ramai untuk bergambar.

Kawasan seluas lebih satu hektar berhampiran Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pekan Kuala Ketil itu, dipenuhi bunga lalang berwarna putih kekuningan sekali gus menjadi tarikan pengunjung.

Penduduk Kuala Ketil, Nurul Sofia Rejab,18, berkata, dia tidak menyangka kawasan yang dahulunya belukar kini begitu cantik.

Menurutnya, keindahan kawasan itu hanya disedari selepas melihat gambar yang tular di media sosial.

"Kami datang ke sini bila tengok tempat cantik seperti ini tular di Facebook, tak pernah di Kuala Ketil ada kawasan seperti ini.

"Kawasan ini tanah orang, tetapi terbiar dan terbakar pada Februari. Selepas kejadian, lalang tumbuh meliar dan baru-baru ini ia mengeluarkan bunga," katanya.

Alia Aliana Rosli, 18, dari pekan Kuala Ketil berkata, gambar bunga lalang yang tular di media sosial membuatkan dia teruja untuk datang berswafoto di situ.

"Bunga lalang seperti ini pun ada tumbuh di tempat lain, tetapi apabila ia tumbuh dengan banyak menjadi kawasan ini sangat cantik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Manakala, penduduk, Rahman Hashim, 48, berkata, kawasan tersebut menjadi tumpuan sejak beberapa hari lalu pada setiap petang.

"Sekitar jam 6 ke atas, ramai pengguna kenderaan singgah di sini untuk ambil gambar.

"Saya pun tahu kewujudan bunga lalang ini apabila lihat ramai yang singgah sewaktu pulang dari Sungai Petani ke Kuala Ketil," katanya.

Katanya, ketika berkunjung di kawasan berkenaan, pengunjung dinasihati menitikberatkan keselamatan ketika parkir kenderaan.

"Tempat ini di tepi jalan raya utama, jadi pengguna letak kenderaan di bahu jalan yang ruangnya sempit.

"Saya nasihat supaya lebih berhati-hati kerana kenderaan di sini laju dari kedua-dua arah (Kuala Ketil-Sungai Petani).

"Selain itu, kena waspada apabila bergambar di sini kerana dibimbangi ada haiwan berbisa," katanya.