KKM perhalusi SOP individu ulang alik

Khairy ditemui pemberita selepas lawatan ke Klinik Kesihatan Gambir, pada Khamis.
Khairy ditemui pemberita selepas lawatan ke Klinik Kesihatan Gambir, pada Khamis.
A
A
A

LEDANG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) bagi ‘periodic traveller’ atau individu yang berulang alik pada minggu hadapan.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, protokol ujian bagi mereka perlu ditimbang tara berdasarkan faktor kewangan dan keselamatan.

"Protokol ujian bagi pengembara biasa tiada masalah untuk melakukan ujian PCR atau RTK Antigen.

“Bagaimanapun sedikit masalah adalah bagi individu yang berulang-alik setiap hari bukan hanya ke Singapura tetapi ke Thailand yang menggunakan sempadan utara. Begitu juga ke Sarawak dan Sabah bersempadanan dengan Indonesia. Mereka dikategorikan sebagai yang berulang alik setiap hari atau seminggu tiga kali disebabkan kerja, berniaga dan sebagainya.

“Jadi, kalau minta mereka buat ujian seperti pengembara biasa adalah tidak masuk akal. Misalnya dia bekerja di Singapura, takkan nak buat PCR setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Klinik Kesihatan Gambir di sini, pada Khamis.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sempadan negara mula dibuka pada 1 April depan.

Menurut Perdana Menteri, keputusan tersebut bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan memberi keselesaan kepada pengembara dengan tidak merumitkan perjalanan mereka.

Lebih lanjut, Khairy memaklumkan, ‘periodic traveller’ berkemungkinan perlu melakukan ujian berkala dan mengemukakan bukti setiap minggu.

Artikel Berkaitan:

“Dia (pengembara) perlu tunjuk bukti ujian dengan keputusan negatif dalam seminggu dan seperti biasa, kalau bergejala dia perlu buat ujian semula.

“Ini cadangan dan sedang difikirkan kerana sekiranya mereka melakukan ujian secara harian, banyak perkara yang perlu difikirkan iaitu kos yang perlu dikeluarkan.

“‘Daily test atau ujian harian susah sedikit bagi pengembara setiap hari. Bayangkan jika dia bekerja di Singapura dan buat ujian harian. Berapa kali dia nak buat ujian dalam seminggu dan kos kena tanggung.

“Kategori ini mesti ada protokol berbeza sedikit,” katanya.