Gangguan bekalan air di hampir semua kawasan di Labuan

Pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan paip pecah di Jalan Rancha-Rancha hari ini. Foto Bernama
Pihak Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan paip pecah di Jalan Rancha-Rancha hari ini. Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Penduduk Labuan berdepan gangguan bekalan air selama tiga hari bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan, Trinil Indah Puspita berkata, bekalan air ke hampir 27 kampung dan kawasan kediaman telah dipotong buat sementara waktu sekurang-kurangnya 72 jam mulai hari ini susulan penutupan paip utama fasa dua dari tangki penerima di Pulau Enoe.

"Gangguan air akan bermula hari ini hingga Sabtu serta menjejaskan hampir semua kampung dan kawasan kediaman di pulau ini kecuali Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan UMSKAL), Kampung Sungai Miri dan Sungai Lada yang menerima bekalan dari Loji Rawatan Air Sungai Pagar serta kawasan Patau-Patau termasuk kawasan tertentu di Sungai Keling yang menerima bekalan dari Tangki SGI.

"Kerja-kerja pembaikan kebocoran paip utama berukuran 800 milimeter di tangki imbangan di Jalan Rancha-Rancha telah dimulakan pagi tadi dan kami harap ia berjalan lancar. Ini merupakan paip utama yang membekalkan air dari Pulau Enoe ke loji rawatan Jalan Kolam sebelum disalurkan ke semua lokasi di pulau ini kecuali Sungai Miri, kawasan Sungai Lada, UMSKAL dan juga kawasan Patau-Patau,” katanya hari ini.

Beliau berkata, JBA akan menghantar bekalan air ke tangki sedia ada di semua kawasan terjejas. - Bernama

Artikel Berkaitan: