Malaysia-Jepun kerjasama bantu PKS dalam pembuatan pintar

Bengkel kedua pemadanan perniagaan diadakan secara maya pada 9 Mac lepas.
Bengkel kedua pemadanan perniagaan diadakan secara maya pada 9 Mac lepas.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama antara Malaysia-Jepun dalam membantu industri pembuatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan menerima pakai teknologi pembuatan pintar, kini berada di fasa kedua melibatkan pemadanan perniagaan dan penciptaan pameran teknologi Industri 4.0 antara penyedia penyelesaian Jepun dan PKS.

Sirim Berhad (Sirim) dalam satu kenyataan berkata, Malaysia melalui Sirim bersama-sama Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) Kuala Lumpur telah bekerjasama untuk menyokong pengenalan pembuatan pintar dan teknologi yang melibatkan Industri 4.0 Jepun kepada PKS tempatan dalam sektor pembuatan sejak tahun 2019.

Menurut kenyataan itu, berikutan kejayaan bengkel pertama pemadanan perniagaan yang dilakukan secara atas talian (online) pada 25 Mac 2021, bengkel kedua telah diadakan secara maya pada 9 Mac 2022.

“Bengkel berkenaan telah diktiraf oleh Kedutaan Jepun di Malaysia sebagai salah satu program Sambutan Ulang Tahun ke 40 Dasar Pandang ke Timur.

“Sebanyak tujuh penyedia penyelesaian Jepun yang menyertai bengkel berkenaan adalah Fujitsu (Malaysia) Sdn. Bhd., Hitachi Asia (Malaysia) Sdn. Bhd., KDDI Malaysia Sdn. Bhd., NEC Corporation of Malaysia Sdn. Bhd., Mitsubishi Electric Sales Malaysia Sdn. Bhd., Murata Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd., dan Yokogawa Electric (Malaysia) Sdn. Bhd.

“Sebanyak lapan PKS tempatan dari pelbagai industri pembuatan telah menyertai bengkel sehari itu, di mana 21 sesi pemadanan perniagaan telah diadakan. PKS tempatan yang telah mengaplikasi dan menerima laporan Penilaian Kesediaan Industry4WRD telah menunjukkan minat dalam mengguna pakai teknologi Jepun daripada penyedia penyelesaian berkenaan,” jelas kenyataan itu pada Khamis.

Antara peserta yang menyertai bengkel pemadanan perniagaan yang diadakan secara maya pada 9 Mac lepas.
Antara peserta yang menyertai bengkel pemadanan perniagaan yang diadakan secara maya pada 9 Mac lepas.

Menurut kenyataan itu, kerajaan melalui Industry4WRD: Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bertujuan memacu transformasi digital ke arah pembuatan dan sektor perkhidmatan yang berkaitan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Untuk pameran yang berjaya dipadankan, PKS layak untuk memohon insentif yang diberikan oleh kerajaan di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk mengguna pakai teknologi Industri 4.0 yang relevan.

“Fasa ketiga dan fasa terakhir kerjasama ini akan melibatkan majlis pemadanan perniagaan dalam skala besar dan ia terbuka kepada semua sektor pembuatan Malaysia dan penyedia penyelesaian Jepun,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pada fasa pertama kerjasama itu, sebanyak 10 seminar perniagaan telah diadakan bermula tahun 2019 hingga 2020 berkaitan dengan pengenalan teknologi pembuatan pintar Industri 4.0 Jepun yang menampilkan pelbagai penyedia penyelesaian di Semenanjung Malaysia.

Seminar itu telah disertai oleh 1,100 peserta dari sektor pembuatan Malaysia dan syarikat perkhidmatan berkaitan pembuatan.