Kempen capai 60 peratus, Mohd Khuzzan yakin pertahan kerusi

Mohd Khuzzan berkata kepada pemberita selepas menyantuni pengundi di DUN Semerah di Kampung Tambak pada Khamis.
Mohd Khuzzan berkata kepada pemberita selepas menyantuni pengundi di DUN Semerah di Kampung Tambak pada Khamis.
A
A
A

BATU PAHAT - Berbaki kurang 48 jam menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar terus menggiatkan kempen menyantuni pengundi-pengundi semaksimum mungkin untuk memastikan kemenangan parti itu pada 12 Mac ini.

Buat masa ini, Mohd Khuzzan menyatakan pihaknya telah mencapai 60 peratus berkempen di kawasan ditandinginya itu.

“Saya akan masuk ke kampung-kampung untuk bertemu pengundi-pengundi tetapi ia tidak menjadi masalah kerana sepanjang perkhidmatan saya dari 2018 sehinggalah DUN dibubarkan, kita hari-hari masuk ke kampung.

“Paling minimum kita pergi dalam 20 rumah sehari. Insya-ALLAH mudah-mudahan ia diterjemahkan dalam bentuk undi pada 12 Mac,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengundi di DUN Semerah di Kampung Tambak pada Khamis.

Turut hadir Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Mohd Khuzzan turut melahirkan keyakinannya untuk mempertahankan kerusi DUN Semerah pada PRN kali ini.

“Alhamdulillah kita telah masuk banyak kawasan 'kelabu' dan kawasan 'hitam' untuk memastikan kita mendapat semaksimum undi dan insya-ALLAH pada 12 Mac nanti, ia mungkin akan diterjemahkan dalam bentuk undi,” ujarnya.

DUN Semerah dianggap sebagai salah satu kerusi panas pada PRN Johor apabila Mohd Khuzzan memperoleh majoriti tipis 98 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Artikel Berkaitan:

Bekas EXCO Belia, Sukan dan Kebudayaan itu berjaya mendapat 12,619 undi pada PRU lalu ketika menentang Mohd Ismail Roslan daripada parti Barisan Nasional dengan 12,521 undi.