Kenaikan harga barang perlukan pendekatan holistik

No Image Caption
A
A
A

Ketika menyelusuri semua akaun media sosial rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) sejak Disember 2021, isu kenaikan harga barang mendominasi ruang siber. Apa saja posting yang dibuat, pasti akan dikenenkan ke harga barang, ayam, telur dan minyak masak.

Waima posting berkenaan Perdana Menteri juga dikaitkan dengan harga barang. Kasihan KPDNHEP. Seolah-olah harga barang adalah tanggungjawab KPDNHEP semata-mata. Pegawai KPDNHEP tak tahu buat kerja, penguat kuasa KPDNHEP tak buat kerja dan kerajaan gagal antara tohmahan yang dilemparkan.

Sebenarnya, isu harga barang saling berkait rapat. Soal bekalan, soal pengangkutan, soal sewa, soal mata wang dan soal gaji. Justeru, harga barang bukan tanggungjawab KPDNHEP sahaja.

Pengeluaran Barang Makanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), pengeluaran barangbarang keperluan (bukan makanan) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan beberapa Kementerian lain yang mengawalselia Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta peniaga kecil.

Secara holistiknya, bekalan dan harga barang adalah isu kerajaan yang harus mengerah semua kementerian berkenaan, bukannya terbeban di satu kementerian sahaja.

Hampir semua negara di seluruh dunia mengalami isu yang serupa. Inflasi yang terus meningkat mempengaruhi harga barang. Apa tidaknya, komoditi bahan mentah dunia melambung akibat ekurangan tawaran dan permintaan yang tinggi. Terutama yang diimport.

Ini belum mengambil kira harga minyak mentah yang kini dalam jajaran menaik sudah mencecah USD90 setong. Begitu juga minyak sawit mentah yang sedang menuju kepada RM8,000 per tan metrik.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Impaknya pasti akan terasa tak lama lagi. Tetapi kenapa Malaysia sahaja yang kelihatan begitu parah sekali? Apakah peratus kenaikan harga di negara kita paling tinggi dibandingkan negara lain?

Apakah kerana negara pengeksport tidak lagi mengeksport komoditi bahan mentah ke negara kita? Atau kerana mata wang kita telah merudum nilainya sehingga kos import menjadi tinggi?

Atau kerana kos tenaga kerja yang telah meningkat? Atau kekurangan tenaga kerja asing yang menyebabkan keseluruhan kos pengeluaran meningkat? Di mana perginya tenaga kerja lokal yang telah kehilangan kerja semasa Covid-19?

Atau upah dan gaji rakyat yang tidak meningkat seiring dengan kenaikan inflasi yang menyebabkan kuasa beli dan pendapatan guna-pakai rakyat semakin mengecil dan menekan?

Atau perkara ini sengaja dibesarbesarkan oleh netizen dan ‘cyber-troopers’ untuk memburukkan lagi keadaan dan akhirnya menggambarkan kegagalan kerajaan yang memerintah? Mungkin sahaja harga barang dijadikan senjata politik!

Isu harga

Dari sudut ekonomi, harga barang akan naik jika kos pengeluarannya meningkat. Banyak faktor yang mempengaruhi kos pengeluaran, daripada input bahan mentah, upah gaji pekerja, kos utiliti, pengangkutan dan kos pemasaran.

Ini diakui sendiri oleh Jabatan Statistik Malaysia (DOSM) melalui terbitan data rasmi kerajaan bulan Disember 2021 di mana Inflasi telah meningkat ke 2.5% dan Indeks Harga Pengeluar telah meningkat 12%.

Tak mungkin peniaga nak jual pada harga yang merugikan mereka. Lebih baik bagi mereka tidak berniaga daripada berniaga tetapi rugi. Atau mencari tempat lain yang mereka boleh membuat keuntungan walaupun sedikit.

No Image Caption

Tidak mungkin kerajaan akan membiarkan peniaga mengambil keuntungan yang tidak munasabah hingga membebankan pengguna. Kerajaan yang gila sahaja akan membiarkan harga diekploitasi sehingga menimbulkan kemarahan rakyat.

Peniaga juga adalah pembeli dan pengguna. Mereka akan beli barangan peniaga lain dan peniaga serta pengguna adalah rakyat yang akan memilih kerajaan apabila tiba masanya.

Kerajaan pula pada bila-bila masa boleh kuatkuasakan Akta Bekalan dan Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan jika ada kes. Jika tiada pelanggaran terhadap akta tersebut, bermakna tiada pencatutan yang berlaku.

Apa yang sedang berlaku sebenarnya bukanlah pencatutan atau ‘profiteering’ tetapi hakikatnya kos pengeluaran telah meningkat di semua rantaian bekalan.

Peningkatan kos pengeluaran mempengaruhi kos yang harus dibayar oleh pengguna. Jadi apakah jalan penyelesaiannya?

Jika ikut kata pengguna, harga mesti dikawal. Baca pula komen netizen, kerajaan mesti bertindak supaya harga peringkat pengguna tidak naik. Apakah impaknya jika kehendak itu dituruti?

Pertama, kawalan harga tanpa memberi subsidi kepada pengeluar barangan akan menyebabkan pengeluar menanggung kerugian. Tiada pengeluar dan peniaga yang nak rugi.

Sebagai tindak balas, pengeluar mungkin gulung tikar dan mungkin migrasi ke negara lain yang tidak mengenakan kawalan harga yang melampau.

Natijahnya, kerajaan terpaksa import barang tersebut dan barangan import tak semestinya murah. Ini yang telah dilakukan kerajaan dengan mengimport ayam bulat apabila bekalan kurang dan harga tinggi. Tetapi harga tidak juga turun.

Kedua, kerajaan terpaksa menanggung dan membayar subsidi kepada pengeluar bila kerajaan menentukan harga kawalan ayam dan telur. Tanpa subsidi, pengeluar akan membuat onar dengan mengurangkan bekalan ayam dan telur di pasaran.

No Image Caption

Ini yang berlaku apabila negara ‘tidak ada telur’ satu ketika dulu. Bila kerajaan setuju mengeluarkan subsidi yang dapat diterima pengeluar, barulah bekalan kembali pulih.

Natijahnya, kerajaan harus menanggung subsidi yang tinggi. Subsidi ayam, subsidi telur, subsidi minyak masak, subsidi beras, subsidi RON95, subsidi diesel, subsidi tepung, subsidi gula dan subsidi LPG.

Mungkin satu masa nanti semua barang akan bersubsidi. Hampir seluruh pendapatan kerajaan akan dibelanjakan untuk subsidi. Di mana peruntukan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat?

Apakah ini yang rakyat mahu? Jika diamat-amati, subsidi itu tidak dinikmati sepenuhnya oleh golongan sasar B40 dan M40. Banyak ketirisan! Lihat sahaja siapa sebenarnya yang menikmati subsidi RON95, diesel, minyak masak dan LPG.

B40 dan M40 tetap dengan motosikal dan kereta kompak yang tangkinya tidak sebesar kereta mewah yang turut menggunakan RON95. Minyak masak bersubsidi dan LPG banyak dinikmati oleh peniaga-peniaga seperti operator restoran dan kedai dobi.

Kerajaan, ahli politik dan pakar ekonomi negara harus melihat isu harga barang secara holistik. Harga kawalan hanyalah pendekatan jangka pendek.

Soal sekuriti makanan, kuasa beli dan pendapatan boleh guna rakyat hasil daripada upah/gaji yang setanding serta nilai mata wang negara mestilah dijadikan agenda utama teratas kerajaan jika kita serius untuk menyelesaikan isu harga barang dan kos sara hidup rakyat secara tuntas.