Sabah sambar tiga mata berharga

Saddil Ramdani (tiga dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya di Stadium Likas sebentar tadi. - Foto Bernama
Saddil Ramdani (tiga dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya di Stadium Likas sebentar tadi. - Foto Bernama
A
A
A

SABAH FC berjaya meraih kemenangan sulung dalam kempen Liga Super musim ini selepas menewaskan Petaling Jaya City (PJ City) FC 3-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu sebentar tadi.

Kemenangan itu pasti melegakan kem The Rhinos selepas tewas mengejut 0-1 kepada Negeri Sembilan FC dalam aksi pembukaan Liga Super minggu lalu.

Dalam pertemuan menentang PJ City, Sabah FC memperoleh dua gol pada babak pertama manakala satu lagi jaringan terhasil pada separuh masa kedua.

Dua tonggak import Sabah FC - Jackson De Souza dan Netto Pesoa masing-masing menyumbat gol pada minit ke-16 dan 35.

Kedua-dua gol berkenaan terhasil menerusi tendangan percuma dan sepakan sudut yang diambil kapten, Baddrol Bakhtiar.

Sebelum tamat aksi babak pertama, PJ City berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan S Kumaahran pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Sabah FC kembali tampil agresif melancarkan serangan ke kubu pasukan pelawat dalam usaha untuk menambah gol.

Hasilnya, sepakan percuma pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani dari luar kotak penalti terus menerjah gawang PJ City pada minit ke-48.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu sudah tentu melonjakkan semangat The Rhinos yang akan menanti pasukan Liga M3, Respect FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Likas pada 12 Mac ini.