Lebih banyak pusat komuniti desa diwujudkan

Hasbi - Foto Bernama
Hasbi - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Kerajaan berhasrat mewujudkan lebih banyak Pusat Komuniti Desa (PKD) di seluruh negara bagi memberi peluang dan ruang pendedahan kepada masyarakat luar bandar mengenai teknologi, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata, ia bertujuan merapatkan jurang teknologi digital antara bandar dan luar bandar, selaras dengan program Pemerkasaan PKD dengan peruntukan pembangunan RM3 juta dalam Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Ada banyak permohonan dihantar kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) oleh daerah-daerah kecil, kawasan luar bandar dan kawasan terpencil termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di PKD Layang-Layang di sini pada Rabu.

Kini terdapat 191 PKD di seluruh negara termasuk 15 PKD di Sabah dan enam di Sarawak.

Hasbi berkata, lima peranan PKD iaitu sebagai pusat latihan kemahiran; pusat aktiviti dan pemerkasaan wanita; pusat perkhidmatan setempat; pusat kesukarelawanan dan pusat pengumpulan produk usahawan desa akan terus dipergiatkan dengan pelbagai aktiviti selaras dengan moto PKD ‘Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan’ agar dapat membantu masyarakat luar bandar untuk terus maju.

Justeru, beliau berharap pemerkasaan peranan dan fungsi PKD melalui penganjuran pelbagai aktiviti dan kerjasama strategik akan dapat membantu menjana pendapatan serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar di samping mengurangkan isu penghijrahan belia dari luar bandar ke bandar.

Hasbi berkata, pada tahun lepas, PKD berjaya menganjurkan 3,654 kursus atau program merangkumi bidang kemahiran seperti masakan, jahitan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perniagaan dan keusahawanan yang memanfaatkan 95,000 orang.

Katanya, pemerkasaan PKD akan dihebahkan melalui penggunaan media sosial bagi memudahkan masyarakat luar bandar mendapatkan maklumat dengan cepat.

Artikel Berkaitan:

Ruang Reka STIE Keluarga Malaysia di PKD Layang-Layang yang dilancarkan pada Rabu adalah kerjasama strategik antara KPLB, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Ruang Reka STIE itu mempunyai tiga ruang iaitu makmal komputer, studio digital dan makmal reka bentuk yang dilengkapi dengan peralatan dan aplikasi teknologi STIE seperti komputer, arduino, lampu studio, televisyen, pencetak 3D dan komputer meja. - Bernama