Kempen hari terakhir, BN fokus calon dekati pengundi

Adham (kanan) dan Ismail Sabri ( tengah) menyerahkan benih IS21 kepada komuniti Felcra Sri Mahkota Endau pada Rabu.
Adham (kanan) dan Ismail Sabri ( tengah) menyerahkan benih IS21 kepada komuniti Felcra Sri Mahkota Endau pada Rabu.
A
A
A

MERSING - Berbaki dua hari menjelang pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) memberi tumpuan kempen bersemuka oleh calon mendekati lebih ramai pengundi di kawasan mereka.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, gerak kerja jentera pilihan raya akan dipercepatkan bagi memastikan kesemua 56 calon BN dapat bertemu dengan lebih ramai pengundi.

"Lagi dua hari sebelum kempen PRN Johor berakhir, BN mahu setiap calon bertemu dengan sebanyak mungkin pengundi di kawasan DUN masing-masing.

"Justeru kempen BN sekarang lebih kepada 'visibility' kehadiran calon yang dapat dilihat pengundi," katanya pada Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 kepada Komuniti oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Felcra Sri Mahkota Endau, di sini pada Rabu.

Adham yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata, jentera BN bagi PRN Johor paling berstruktur kerana menjalani latihan simulasi.

Selain itu, jentera BN juga mampu menjalankan kempen mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

"BN pada asasnya kukuh, jika kita lihat di Johor sahaja UMNO mempunyai sebanyak 2,400 cawangan. Itu tidak termasuk MCA dan MIC.

"Jentera pilihan raya BN paling berstruktur kerana mereka telah dilatih menghadapi sebarang pilihan raya negeri, pilihan raya umum dan pilihan raya kecil," katanya.

Artikel Berkaitan: