Hujan lebat luar biasa punca banjir kilat di Batu Gajah

Keadaan banjir kilat yang berlaku di sekitar Batu Gajah dikongsi orang ramai melalui media sosial pada Selasa.
Keadaan banjir kilat yang berlaku di sekitar Batu Gajah dikongsi orang ramai melalui media sosial pada Selasa.
A
A
A

BATU GAJAH - Taburan hujan yang tinggi iaitu 127.6mm dengan julat lima kali ganda daripada taburan normal dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya banjir kilat di sekitar kawasan Batu Gajah di sini pada Selasa.

Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli berkata, keadaan itu menyebabkan peningkatan ketara melebihi tahap selamat bagi air Sungai Resam berhampiran Jalan Pusing, Sungai Busuk yang berhampiran Pekan Batu Gajah, Sungai Batu (Kampung Sentang, Jalan Tanjung Tualang) dan Sungai Sheikh Johan (Jalan Tanjung Tualang) yang mana aliran air sungai tersebut dilepaskan ke Sungai Kinta.

"Disebabkan itu keseluruhan taman perumahan yang berada di dalam radius tiga kilometer dari aliran sungai tersebut mengalami banjir kilat.

"Punca berlakunya banjir kilat di kawasan Sheikh Johan, Jalan Tanjung Tualang pula dikenalpasti disebabkan aliran air dari tanah tinggi melibatkan kebun kelapa sawit berhampiran," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, MDBG telah melaksanakan tindakan jangka masa pendek iaitu menjalankan pembersihan sisa disebabkan banjir yang telah menutupi longkang-longkang utama dan penyelenggaraan kerosakan struktur longkang yang menyekat aliran air.

"Penyediaan kolam tadahan dan penyelenggaraan juga telah dilaksana di beberapa lokasi bagi mengurangkan kelajuan aliran air yang menyebabkan banjir kilat," katanya.

Mohamad Razif berkata, beberapa kejadian pokok tumbang yang menghalang aliran trafik juga berjaya diselesaikan dalam masa satu jam selepas pihak MDBG menerima aduan ketika kejadian.

"MDBG sedang berusaha sebaik mungkin di lapangan ketika ini untuk mengenal pasti dan menyelenggara punca yang berkaitan bagi menangani isu tersebut dengan segera.

"Satu mesyuarat khas juga akan diadakan pada Khamis dengan penglibatan agensi pentadbiran dalam daerah kawasan operasi bagi menyelesaikan isu tersebut," katanya.

Pada Selasa, kejadian banjir kilat dan ribut berlaku di beberapa kawasan di sekitar Batu Gajah di antara jam 4 hingga 5.30 petang.

Artikel Berkaitan:

Kejadian tersebut turut dikongsi orang ramai menerusi media sosial.