Fasa endemik: PDRM fokus penguatkuasaan empat kesalahan

Aidi
Aidi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menumpukan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, pengoperasian premis dan penggunaan aplikasi MySejahtera susulan negara beralih ke fasa endemik pada 1 April.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail berkata, pihaknya akan menumpukan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) ke atas perkara-perkara terbabit.

"Kerajaan telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa negara kita akan mula memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April 2022.

"Sebagai mendukung kenyataan yang telah dikeluarkan itu, JPJKK akan memfokuskan di mana pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di tempat awam, sentiasa menjaga penjarakan fizikal di tempat yang sesak, premis beroperasi seperti syarat lesen dan penggunaan MySejahtera," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berharap masyarakat akan lebih bertanggungjawab menjaga diri dan keluarga mereka dengan kelonggaran yang telah diberikan.

Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik mulai 1 April ini.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

Artikel Berkaitan: