Hanya BN sayang Felda dan peneroka: Ismail Sabri

Ismail Sabri ( tiga dari kiri) melihat produk yang dipamerkan pada Program Transformasi Perladangan Felda di Balai Raya Felda Endau di sini pada Rabu.
Ismail Sabri ( tiga dari kiri) melihat produk yang dipamerkan pada Program Transformasi Perladangan Felda di Balai Raya Felda Endau di sini pada Rabu.
A
A
A

MERSING - Barisan Nasional (BN) sudah banyak berusaha membangunkan Felda menerusi perjuangan kepimpinan parti itu termasuk Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agenda perjuangan Tun Abdul Razak diteruskan pemimpin BN selepas itu sehingga ke hari ini.

“Kejayaan yang kita kecapi hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin BN yang dahulu.

(Tetapi) kita tak nak minta (diberi ucapan) terima kasih seperti orang lain buat kerana yang penting kita perlu sedar kejayaan Felda hasil perjuangan BN dari dulu hingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Transformasi Perladangan Felda di Balai Raya Felda Endau di sini pada Rabu.

Hadir sama Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ismail Sabri turut mendedahkan cubaan pemimpin yang kini berada dalam parti lain sebenarnya bercadang untuk melakukan sesuatu terhadap Felda, namun usaha itu tidak berjaya.

“Saya nak beritahu rahsia bahawa saya dimaklumkan Pengerusi Pejuang (Parti Pejuang Tanah Air) Tun Dr. Mahathir Mohamad (dahulu) nak swastakan Felda sebelum Lembaga Letrik Malaysia (LLM) menjadi Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ada TNB, Felda pun nak diswastakan tapi tak berjaya sebab itu beliau agak kecewa dan mulai tarikh itu beliau buat keputusan tidak beri lagi bantuan kewangan kepada Felda yang akhirnya perlu hidup sendiri mencari wang.

"Jadi kalau nak kata orang lain sayang Felda, ada bukti mereka tak seperti yang mereka sebutkan, tetapi sekali lagi saya nak tegaskan BN yang sayang kepada Felda dan peneroka," katanya.

Justeru, Ismail Sabri menegaskan hanya Barisan Nasional ( BN) sayangkan Felda dan peneroka.

"Ramai yang mendakwa mereka bertanggungjawab dan sayang kepada Felda tetapi hakikat sebenar perkara itu ada dalam kalangan BN dan pemimpinnya," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan sedang berusaha membantu Felda mengurangkan kebergantungan tenaga buruh ladang menerusi penggunaan teknologi dan Internet of Things (IoT)

"Disebalik kegembiraan peningkatan harga yang tinggi, industri sawit juga berdepan dengan cabaran-cabaran yang menjejaskan pengeluaran buah tandan segar seperti kekurangan buruh ladang selepas pandemik Covid-19.

"Supaya tidak kerugian dalam jangka masa panjang, kerajaan sedang menanganinya dengan merangka strategi komprehensif menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) yang turut menumpukan usaha mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing melalui penggunaan teknologi dan Internet of Things (IoT)," katanya.