PM pengerusikan mesyuarat pertama EAC

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Perdana Putra, di sini.

Mesyuarat itu membincangkan tiga kertas cadangan dengan dua daripadanya memberi fokus kepada usaha menangani peningkatan kos sara hidup rakyat yang dibentangkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi turut membentangkan cadangan mewujudkan Dana Mudahcara B40 yang menggunakan keusahawanan sosial sebagai platform untuk meningkatkan taraf hidup isi rumah B40.

Penubuhan EAC diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 11 Februari lepas bertujuan meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Dipengerusikan Perdana Menteri, majlis itu dianggotai 16 anggota termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking; Menteri Kerja Raya Baru Bian; Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Dr Muhammed Abdul Khalid; bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) ,Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Anggota majlis lain ialah Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Prof Dr Jomo Kwame Sundaram; Pengarah Urusan Public Bank, Tan Sri Tay Ah Lek; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dr Hasnita Hashim; Pengerusi Bursa Malaysia, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen; Pengerusi Asean Business Advisory Council Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Paul Selvaraj; Peguam Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Nizam Mahshar. - Bernama

Artikel Berkaitan: