Mastura nafi ICU tiada peruntukan bantu mangsa banjir

Mastura Mohd Yazid
Mastura Mohd Yazid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid menafikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) tidak mempunyai peruntukan untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir seperti didakwa.

Sebaliknya, beliau menjelaskan peruntukan telah disalurkan mengikut keperluan dan dibuat dari masa ke semasa mengikut permohonan yang dibuat.

“Perkara ini adalah tidak benar. Peruntukan yang disalurkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kepada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi tujuan bantuan wang ihsan dan ICU bagi tujuan bantuan pembelian barang keperluan asas (BPKA) dari masa ke semasa berdasarkan permohonan yang diterima agensi berkenaan.

“Sehingga kini Nadma telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.7 juta kepada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi tujuan wang ihsan dan RM1.7 juta kepada ICU untuk BPKA Wilayah Persekutuan.

“Merujuk laporan ICU sehingga 1 Mac 2022, daripada 1,775 ketua isi rumah (KIR) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang disahkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) layak menerima wang ihsan sebanyak RM1,000.

“Kesemua 1,775 KIR telah menerima bantuan ini. Seratus peratus,” katanya di ketika menggulung perbahasan usul berkenaan banjir kilat yang melanda Lembah Klang di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) bahawa adalah benar ICU tidak mempunyai peruntukan untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

Artikel Berkaitan: