X

Kindly register in order to view this article
!

Inkues Adib: OCPD gagal dihubungi, tiada arahan susulan

Pegawai Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Asisten Superintendan Mohd Suhaimi Yakob antara saksi Inkues Kematian Muhammad Adib hadir ke Kompleks Mahkamah Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
SHAH ALAM - Selain Ketua Polis Daerah (OCPD) Subang Jaya yang gagal dihubungi, tiada arahan susulan diberikan kepada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang bertugas dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman November.

Ia menyebabkan pasukan itu tidak dapat mengambil sebarang tindakan tanpa arahan pegawai pemerintah (OCPD) walaupun situasi mendesak.

Pegawai Penjaga FRU Troope 1A, Asisten Superintendan Suhaimi Yaakob berkata, pihaknya terikat dengan operasi prosedur standard (SOP) dan Public Order Manual dalam menjalankan penugasan.

"Pegawai Pemerintah Unit 1 FRU Cheras, Superintendan Jefri Mohamad telah cuba menghubungi OCPD untuk memaklumkan situasi semasa namun gagal.

Selepas itu Jefri menghubungi Timbalan OCPD dan arahan diberikan agar bersiap sedia," katanya.

Menurutnya, seramai 113 anggota dan lima pegawai FRU dengan dua pasukan iaitu 1A dan 4B menerima penugasan mengejut untuk memberi bantuan kepada IPD Subang Jaya dan bersiap sedia di lokasi.

"Arahan awal yang kami terima perlu ke lokasi dan bersiap sedia," katanya.

Menjawab Pemeriksaan Utama oleh Pengawai Pengendali Inkues, Hamdan Hamzah, Suhaimi berkata, mereka telah berhubung dengan Pegawai Medan, Deputi Superintendan (DSP) Mohamad Nasir Deraman (saksi pertama) selepas gagal menghubungi OCPD.

Hamdan: Berapa kali kamu berhubung dengan DSP Mohamad Nasir?

Saksi: Sejurus sampai di lokasi dan selepas jam 11 malam pada 26 November 2018. DSP Nasir beri arahan agar bersiap sedia dan beliau akan menghubungi OCPD. Sepanjang kejadian, DSP Nasir tidak datang ke lokasi kami.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam keluarga mangsa, Yahaya Othman, saksi ke 21 itu berkata, pasukan FRU tidak diberikan sebarang taklimat berkenaan situasi semasa.

"Sebarang tindakan FRU adalah berdasarkan tindakan susulan dari IPD pada malam kejadian," katanya.

Yahaya: Ada beritahu Pegawai Medan mengenai jentera bomba diserang?

Saksi: Saya dengar dari walkie talkie dan memaklumkan keadaan berlaku. Apa yang saya nilai, saya tidak tahu apa jentera bomba diserang.

Yahaya: Bila kamu mengetahui kejadian serangan terhadap jentera bomba?

Saksi: Saya hanya mengetahui perkara itu selepas jam 3 pagi melalui Facebook.

Yahaya: Bilakah OCPD dapat dihubungi?

Saksi: Saya tidak pasti sebab orang ramai beredar lebih kurang jam 3 pagi. Dan jam 3.30 pagi baru saya nampak OCPD dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor (OCCI) tiba dan kami telah dipanggil.

Yahaya: Setuju atau tidak, FRU telah tersilap langkah dengan tidak mengambil tindakan sewajarnya sehingga satu nyawa melayang?

Saksi: Tidak setuju.

Prosiding hari ke 14 berlangsung di hadapan Koroner Rofiah Mohamad ditangguhkan dan bersambung esok.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!