Jual lot rumah kepada generasi kedua Felda: Ismail Sabri

Ismail Sabri berucap pada Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia peringkat negeri Johor di Kompleks Sukan Komuniti Felda Lok Heng Kota Tinggi pada Rabu. - Foto Bernama
Ismail Sabri berucap pada Majlis Penyampaian Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia peringkat negeri Johor di Kompleks Sukan Komuniti Felda Lok Heng Kota Tinggi pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan menyelesaikan isu perumahan generasi kedua Felda di Johor menerusi konsep baharu yang dilaksanakan melalui penjualan lot rumah kepada kumpulan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Felda tidak akan lagi menjual rumah yang siap kepada generasi kedua tanah rancangan tersebut seperti dilakukan sebelum ini.

Katanya, ini kerana kaedah tersebut didapati menimbulkan beberapa masalah kepada generasi peneroka antaranya berkaitan isu ketidakmampuan membeli rumah dan projek perumahan tergendala.

"Kalau dulu Felda membina rumah, jadi banyak isu timbul apabila rumah yang disiapkan tetapi tidak mampu dibeli oleh generasi kedua Felda terutamanya yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai slip gaji.

"Jadi permohonan mereka dengan bank banyak yang ditolak dan ini menjejaskan perancangan untuk memastikan generasi kedua mempunyai rumah sendiri.

"Jadi sebab itu konsep baharu diperkenalkan iaitu kita tidak lagi menjual rumah yang siap tetapi menjual lot-lot tanah kepada generasi kedua untuk membina rumah mereka sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Geran Rukun Tetangga Komuniti Sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) di Kompleks Sukan Komuniti Felda Lok Heng, di sini, pada Rabu.

Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 3,200 lot rumah telah disediakan oleh kerajaan negeri Johor untuk generasi kedua Felda di negeri tersebut.

Tambah beliau, kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri Johor juga akan menyediakan peruntukan sebanyak RM60 juta untuk tujuan pembangunan infrastruktur di kawasan perumahan berkenaan.

“Jadi kita akan membangunkan daripada segi infrastruktur supaya apabila mereka membeli lot tersebut mereka dah boleh membina rumah sendiri dan infrastruktur sudah pun siap,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata beberapa isu lain di Felda Lok Heng yang turut diberikan perhatian oleh kerajaan ialah isu air, rangkaian telefon dan termasuk masalah serangan gajah yang memusnahkan tanaman peneroka.

Bagi menyelesaikan isu air, beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerajaan telah meluluskan projek Loji Gemalai yang kini sedang proses setuju terima oleh kontraktor

Katanya, projek menaik taraf Loji Rawatan Air Gembut juga akan memastikan bekalan air dapat terus disalurkan ke kawasan Gugusan Waha dan seterusnya membolehkan Loji Rawatan Air Lok Heng hanya membekalkan air kepada Gugusan Lok Heng.

Mengenai masalah rangkaian telefon yang kurang baik di Kota Tinggi, beliau berkata, perkara tersebut akan diatasi dengan pembinaan pencawang telefon selular di daerah tersebut.

Manakala untuk isu serangan gajah di kawasan tersebut, Ismail Sabri berkata, isu berkenaan dijangka dapat diselesaikan melalui pembinaan Santuari Gajah Panti yang sudah siap fasa pertama dengan fasa kedua dianggarkan selesai pada 2025.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan langkah untuk mewujudkan semula Tabung Usahawan Belia berjumlah RM10 juta sebagai permulaan bagi membantu peneroka yang mahu beralih kepada bidang keusahawanan.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Bera itu berkata, bagi mengiktiraf peranan belia, beliau sebelum ini telah mengumumkan keputusan bagi melantik wakil belia Felda ke dalam Ahli Lembaga Pengarah agensi tersebut.

“Pihak Kerajaan mempunyai keyakinan kepada belia untuk menyuarakan pandangan dan buah fikiran untuk memajukan Felda dan anak belia Felda. Saya telah pun melantik Pengerusi Belia Felda untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah Felda,” katanya.