Najib tidak ingkari arahan saya: Azhar Azizan

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan beliau memberi kebenaran kepada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat pada Selasa depan berhubung kenyataan beliau mengenai 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa mengelirukan dewan sebelum ini.

Justeru, Azhar Azizan menegaskan tidak timbul isu bekas Perdana Menteri itu mengingkari arahannya.

Ini kerana katanya, usul yang dikemukakan Tony Pua (PH-Damansara) supaya Najib dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa beberapa perkara yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan Titah Diraja minggu lalu termasuk menyatakan tiada satu sen prinsip hutang 1MDB pernah dibayar kerajaan adalah perkara fakta dan memerlukan penjelasan terlebih dahulu.

“Dalam perkara ini, saya memohon penjelasan daripada dua orang, pertamanya, Yang Berhormat Pekan (Najib) kerana beliau adalah subjek utama, saya juga meminta penjelasan Menteri Kewangan (Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) kerana beliau semasa menjawab soalan tambahan (Ahli Parlimen) Bagan (Lim Guan Eng) keesokan harinya saya rasa telah mengatakan kerajaan membayar hutang wang 1MDB.

“Jadi, kenyataan ini bercanggah dengan Yang Berhormat Pekan. Jadi, saya memerlukan penjelasan daripada kedua-dua yang berhormat tersebut sebelum saya boleh memutuskan usul Damansara.

“Oleh itu saya telah menulis surat kepada kedua-dua dan saya meminta penjelasan selewatnya hari ini. Kedua sebenarnya semalam selepas saya mempengerusikan mesyuarat saya menerima surat daripada Yang Berhormat Pekan (yang) meminta pelanjutan masa sehingga hari Rabu depan untuk memberikan penjelasan.

“Saya benarkan permohonan tersebut sehingga Selasa pagi minggu depan. Jadi tidak timbul persoalan sama ada Yang Berhormat Pekan mengingkari arahan saya sebab saya yang memberi masa kepada Pekan sehingga Selasa. Itu sebenarnya yang terjadi,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Pua sebelum itu bangkit mempersoalkan tindakan yang Najib yang enggan mematuhi arahan Azhar Azizan supaya membuat penjelasan kepada Dewan Rakyat berhubung kenyataan yang didakwa mengelirukan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, berdasarkan laporan media yang dibacanya bahawa Najib akan memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor juga tidak berasas.

“Beliau bukan merupakan seorang calon yang bertanding di Johor, dia hanya seorang penyokong kempen dan apa-apa perkara yang berlaku di dewan ini sepatutnya adalah yang paling penting sekali daripada apa yang beliau sedang lakukan sekarang ini.

“Jadi, beliau perlu datang ke majlis (Dewan Rakyat) untuk menjawab dan saya rasa Tan Sri pun berikan kelonggaran kepada beliau bahawa beliau boleh jawab secara bertulis tanpa perlu datang ke dewan untuk menjawab secara langsung tetapi beliau juga tidak dapat mematuhi kelonggaran tersebut dan kita harap Tan Sri buat keputusan menggantung Pekan sehingga beliau dapat memberikan jawapan bila-bila masa yang beliau mahu,” katanya.

Pada 3 Mac lalu, blok pembangkang mengemukakan usul supaya Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan Rakyat.

Tony Pua (PH-Damansara) ketika mengemukakan usul itu berkata, kenyataan yang dibuat Najib ketika membahaskan Titah DiRaja pada Rabu itu juga turut disifatkan sebagai menghina majlis.

Katanya, usul dalam bentuk surat itu juga telah diserahkan kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Najib dalam Dalam sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat sehari sebelum itu mendakwa tidak ada satu sen pun wang rakyat yang digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.

Jelasnya, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs bukanlah wang rakyat sebaliknya itu adalah wang bank terbabit yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Katanya, beberapa dana lain termasuk daripada Jabatan Kehakiman (DOC) Amerika Syarikat, Ambank, KPMG dan Deloittes yang kesemuanya berjumlah RM23 bilion juga bukan wang rakyat.

Kenyataan Najib itu bagaimanapun disangkal Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul menyifatkan dakwaan kerajaan belum membayar prinsipal hutang 1MDB sebagai tidak berasas.

Ini kerana katanya, hutang berkenaan hanya akan matang pada tahun 2039.