Pembela Pahang gesa perundangan syariah diperkasakan

Syed Nasarudin (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum kepada Ahmad Hairi (dua dari kanan), pada Rabu.
Syed Nasarudin (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum kepada Ahmad Hairi (dua dari kanan), pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN- Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Pahang menyerahkan memorandum kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) supaya memainkan peranan lebih proaktif memperkasakan perundangan syariah di negara ini.

Pengerusi Pembela Negeri Pahang, Datuk Syed Nasarudin Syed Abdul Hadi berkata,

perundangan syariah kini seolah-olah tidak lagi mendapat tempat yang sewajarnya dan dianggap asing dalam sistem perundangan negara.

"Pembela Pahang ingin menegaskan bahawa perundangan syariah perlu diperkasakan agar setiap penghakiman dibuat selari syarak dan sesuai dengan kerangka asas negara ini," katanya ketika ditemui selepas penyerahan memorandum itu, pada Rabu.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussain.

Syed Nasarudin berkata, Pembela Pahang menyeru Muip dan pihak berkuasa agama di negeri-negeri memastikan jawatankuasa teknikal sedia ada mengkaji Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah negeri untuk ditambah baik.

"Pada masa sama, minta jawatankuasa teknikal itu dinaik taraf sebagai sebuah suruhanjaya penuh yang bebas bagi memastikan kelancaran proses mensyariahkan perundangan negara.

"Jawatankuasa Pelantikan Hakim juga digesa berfungsi menilai calon-calon hakim yang akan dilantik memahami perundangan watan dan syariah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Muip dan pihak berkuasa agama negeri-negeri juga digesa berusaha mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan Perlembagaan Persekutuan versi Bahasa Melayu sebagai rujukan utama dalam proses kehakiman dan perundangan negara ini.

"Langkah itu bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan kekhilafan dalam penafsiran istilah-istilah yang ada di dalam Perlembagaan hingga berlaku keputusan yang tidak mengikut syarak dan menjejaskan umat Islam," katanya.