Akta 731 ditambah baik cegah aktiviti kiriman wang tidak sah

Yamani Hafez
Yamani Hafez
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) akan ditambah baik bagi meningkatkan pemantauan serta mencegah aktiviti kiriman wang tidak sah.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, penambahbaikan itu bertujuan membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih cekap dan punitif dilaksanakan bagi mengekang sebarang aktiviti tidak sihat.

“Setakat akhir bulan Disember tahun 2021, sebanyak 42 pengendali kiriman wang yang bukan bank telah dilesenkan di bawah Akta 731 dan menyediakan perkhidmatan tersebut melalui 1410 premis di seluruh negara dan dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Pas-Kuala Nerus) yang mahu tahu sejauh mana pemantauan dilakukan kerajaan bagi memastikan wang yang dibawa keluar dilakukan secara sah supaya tidak mendatangkan kerugian kepada kerajaan.

Sementara itu, menjawab soalan asal Mohd Khairuddin mengenai mekanisme khusus dilakukan kerajaan untuk mengawal selia peremitan wang ke luar negara khususnya oleh pekerja warga asing yang mencecah RM40 bilion setiap tahun, Yamani Hafez berkata, di bawah Akta 731, peserta-peserta industri mesti dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan dikehendaki mematuhi keperluan undang-undang dan pengawal seliaan dalam menjalankan aktiviti pengiriman wang.

Jelasnya, ia termasuk keperluan pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan terutamanya pelaksanaan langkah usaha wajar ke atas pelanggan serta penyelenggaraan rekod berkenaan transaksi perniagaan pengiriman wang, bagi melindungi pengendali pengiriman wang daripada digunakan sebagai perantara untuk aktiviti penghantaran wang haram.

“Sebagai suatu langkah pengawalan, BNM juga menetapkan had transaksi bagi pengiriman wang keluar oleh seseorang individu tidak boleh melebihi RM50,000 setiap hari.

“Di samping itu, pengendali tersebut juga dikehendaki untuk mengemukakan statistik transaksi secara berkala kepada BNM,” katanya.

Artikel Berkaitan: