Buka sempadan negara perlu dengan SOP ketat: Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Pembukaan semula sempadan negara harus dilakukan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan terancang demi kesihatan awam.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kerajaan perlu mencontohi strategi dan pendekatan diambil negara lain yang melaksanakan pembukaan sempadan secara berfasa serta terancang bagi merancakkan kembali sektor ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 terutama membabitkan sektor pelancongan.

"Sebarang bentuk pelaksanaan ke arah pembukaan sempadan mesti dibuat secara teliti untuk memastikan risiko kesihatan awam terkawal.

"Contohnya, protokol dan garis panduan mengenai peraturan kuarantin perlu dikuatkuasakan bagi mengekang jangkitan terutama varian-varian baharu seperti Omicron," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.

Ahli Parlimen Kinabatangan tersebut berkata, perkara itu sudah dibangkitkan dalam ucapan perbahasan di Parlimen pada Isnin lalu supaya kerajaan khususnya kementerian terlibat membuat kajian demi kebaikan semua pihak dalam usaha memulihkan ekonomi serta rakyat yang terjejas.

Katanya, Malaysia dan negara lain perlu menyegerakan pembukaan sempadan masing-masing untuk membantu pemulihan ekonomi terutama dalam sektor perdagangan dan pelancongan tanpa meningkatkan risiko kesihatan rakyat.

"Langkah penelitian risiko penting bagi menyokong usaha Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang giat dijalankan.

"Menerusi pembukaan sempadan negara yang sistematik dan diselia rapi, sektor-sektor ekonomi terutama industri pelancongan yang amat terkesan akibat pandemik mampu rancak semula dan seterusnya memberi impak positif terhadap pemulihan ekonomi negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara mula memasuki fasa peralihan endemik dan pembukaan semula sempadan negara bermula pada 1 April depan.