Sanggup lari ke bendang elak dicekup

Anggota imigresen membuat pemeriksaan di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu.
Anggota imigresen membuat pemeriksaan di Kampung Kubang Bujuk, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cubaan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri ke bendang bagi mengelak daripada ditahan gagal apabila dicekup anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), pagi tadi.

Sebelum itu, beberapa orang warga asing yang sedang membuat kerja-kerja pembinaan di tapak rumah di Kampung Kubang Bujuk, Serada terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa yang membuat pemeriksaan di situ.

Operasi bersepadu (Ops Sapu) itu diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIM Terengganu, Ahmad Salihin Salleh di empat lokasi berasingan di sekitar Kuala Terengganu dan Marang.

Pengarah JIM Terengganu, Rahim Hanafi berkata, seramai 19 warga asing telah diperiksa dalam operasi berkenaan dan pihaknya menahan sembilan orang daripadanya atas pelbagai kesalahan.

“Operasi ini kita lakukan dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari di kawasan Kepong dan Kampung Kubang Bujuk di Kuala Terengganu serta Kampung Pusu Tiga dan Tasek Baroh Muring di Marang.

“Empat lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Indonesia, tiga lelaki warga Kemboja dan seorang lelaki warga Myanmar ditahan atas pelbagai kesalahan, antaranya kerana tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan dan pengenalan diri yang sah.

“Kita akan ambil tindakan di bawah Seksyen 15 (1)(c) dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 manakala seorang majikan diberikan borang IM. 29 untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya, kesemua PATI yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan: