Sila log masuk terlebih dahulu.

Pembukaan semula sempadan negara beri kelegaan semua pihak

Kerajaan pada Selasa memutuskan supaya sempadan negara dibuka bermula 1 April ini. -Foto Bernama
Kerajaan pada Selasa memutuskan supaya sempadan negara dibuka bermula 1 April ini. -Foto Bernama
A
A
A

RAKYAT Malaysia khususnya yang berada di luar negara kini sudah boleh menarik nafas lega apabila kerajaan secara rasminya mengumumkan pembukaan semula sempadan negara, berkuat kuasa mulai 1 April depan.

Sebelum ini Malaysia telah mengambil keputusan untuk menutup kesemua pintu sempadan antarabangsa negara sejak 18 Mac 2020 susulan pengisytiharan pandemik Covid-19 bagi membendung penularan virus berbahaya itu.

Justeru, menerusi Sidang Media Khas Perdana Menteri, Datuk SerI Ismail Sabri Yaakob pada Selasa, beliau memaklumkan langkah pembukaan semula sempadan adalah selari dengan perancangan memasuki Fasa 'Peralihan Ke Endemik'.

Tambah beliau, pengumuman yang paling dinantikan seluruh rakyat Malaysia juga secara tidak langsung akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan, terutama industri pelancongan dan juga perhotelan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Sebelum ini, pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dan Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Rintis Pulau Langkawi telah berjalan lancar.

Ia secara tidak langsung menjadi penanda aras yang efektif kepada pihak kerajaan bagi mengorak langkah bijak membuka semula kesemua pintu sempadan negara, sekali gus menggalakkan kehadiran pelancong asing.

Dengan pembukaan sempadan negara itu juga, Ismail Sabri memberitahu rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

Manakala, rakyat dari negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass.

Artikel Berkaitan:

Masing-masing hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi ‘Traveller’ dalam MySejahtera.

Susulan daripada pembukaan secara menyeluruh sempadan negara, Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menyambut baik berita gembira berkenaan.

Presiden MATA, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, kesemua ahlinya akan melaksanakan pelbagai pakej promosi dalam dan luar negara bagi menarik pelancong, malah yakin dengan tempoh kurang dari sebulan ini, ahli-ahli mereka dapat menyediakan banyak pakej pelancongan untuk dipasarkan.

Beliau turut menasihatkan kepada semua ahlinya untuk lebih menitikberatkan aspek kesihatan untuk setiap pelancong yang dibawa masuk dengan menyediakan kit ujian kendiri Covid-19 bagi memantau tahap kesihatan pelancong berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel pula berkata, meskipun pemulihan industri perhotelan dan pelancongan mengambil masa yang lama, beliau berharap agar prosedur operasi standard (SOP) dapat dikeluarkan sebelum pembukaan sempadan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Sehubungan itu, mengambil kira situasi penularan Covid-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara, rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia perlu mematuhi segala SOP yang ditetapkan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini dijangka akan mengumumkan secara terperinci mengenai SOP kepada individu yang tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi.

Pada masa sama, kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan senarai SOP pembukaan sempadan negara ini secara lebih terperinci dalam waktu terdekat terutama berhubung prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut.