PRN Johor: Pesakit Covid-19 berhak mengundi

Fuziah
Fuziah
A
A
A

KUANTAN - Pesakit Covid-19 juga berhak mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu ini, kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh.

Menurutnya, sehingga kini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum mengeluarkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pesakit Covid-19 sedangkan hari pengundian hanya berbaki empat hari lagi.

"SPR telah mengeluarkan kenyataan pada Isnin berkenaan SOP Pencegahan Covid-19 pelaksanaan PRN Johor, namun tiada SOP berkenaan tatacara pesakit Covid-19 untuk melaksanakan hak mereka bagi membuang undi. Lantas, bagaimanakah nasib undi mereka?

"SPR dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah badan yang bertanggungjawab untuk memantau perjalanan PRN ini mengikut SOP dan sepatutnya membolehkan mereka yang positif Covid-19 boleh mengundi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, PKR mendesak agar SOP melibatkan pesakit Covid-19 untuk mengundi haruslah dikeluarkan segera oleh SPR.

"Kita kesal dengan kelewatan ini (SOP pesakit Covid-19) dan ia seolah-olah menggambarkan bahawa undi pesakit Covid-19 turut dikuarantinkan.

"Perkara ini, sudah pasti bertentangan dengan amalan demokrasi negara. Oleh itu, kita berharap pihak SPR mengambil maklum dan bertindak dengan segera bagi mengungkai ketidakpastian ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan:


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my