Lelaki mengaku salah pukul isteri

Jilperi mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana memukul isterinya sendiri akhir bulan lalu.

Tertuduh, Jilperi Ali, 37, didakwa mengikut Seksyen 352A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya yang berusia 33 tahun.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap isterinya yang pada masa itu dalam tempoh perkahwinan sah pada 28 Februari lalu, kira-kira jam 8.40 malam di hadapan kediaman mereka di Jalan Kubang Badak, Kuala Nerus.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalahnya direkodkan, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff menetapkan 25 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta hukuman dan turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.