Kontraktor didenda RM20,000 rosakkan kabel TM

Sebuah syarikat pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Selasa kerana merosakkan kabel gentian optik bawah tanah milik TM.
Sebuah syarikat pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Selasa kerana merosakkan kabel gentian optik bawah tanah milik TM.
A
A
A

BINTULU - Sebuah syarikat pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana merosakkan kabel gentian optik bawah tanah milik Telekom Malaysia Berhad (TM).

Hakim Sharifuddin Abdul Rasa menjatuhkan hukuman itu ke atas Musyati Mudaya JV Sdn Bhd yang mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan kerosakan itu di lokasi 34.53 kilometer dari stesen TM Tatau menghala ke stesen TM Bukit Singgalang pada jam 7.30 malam, 2 Julai 2017.

Syarikat tersebut yang diwakili oleh peguam Chung Jing Kuang didakwa di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, kabel gentian optik 48 teras bawah tanah milik TM di kawasan tersebut telah rosak pada hari tersebut dan pemeriksaan pihak TM pada jam 7.30 malam hari sama mendapati kerosakan itu disebabkan oleh pihak Musyati Mudaya JV.

Syarikat tersebut adalah kontraktor pakej kerja yang dilantik oleh Lebuh Raya Borneo Utara Sdn Bhd yang melaksanakan pembinaan jajaran lebuh raya dari Jambatan Sungai Kua di Selangau ke Jambatan Sungai Arip di Balingian di bawah Pakej Kerja 08 (WP08) projek Lebuh Raya Pan Borneo, iaitu turut merangkumi kawasan di mana kerosakan kemudahan rangkaian itu berlaku.

TM membuat laporan polis di Balingian mengenai kerosakan itu pada 7 Julai 2017 dan kemudiannya membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 5 Ogos 2018 berkaitan kerosakan ke atas kemudahan rangkaian, termasuk kerosakan kemudahan rangkaian di kawasan terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SKMM, Nur Nazhilah Mohammad Hashim. Syarikat itu membayar denda berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: