'Siapa MB Johor tunggu BN menang dulu' - Hasni

Hasni
Hasni
A
A
A

PONTIAN - UMNO perlu memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri ( PRN) Johor sebelum membangkitkan isu jawatan Menteri Besar Johor.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, pelantikan Menteri Besar bukan sesuatu yang mudah kerana ia tertakluk di bawah kuasa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Itu jelas di dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri dan saya rasa itu perlu kita hormati.

“Sebagai kaedah pelantikan, syarat-syarat pelantikan semua terkandung dalam undang-undang tubuh negeri terbabit,” katanya ketika ditemui selepas melakukan 'walkabout' sekitar Pekan Benut, di sini pada Selasa.

Sebelum itu, Hasni diminta mengulas mengenai dakwaan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi sedang ‘melobi’ bagi jawatan Menteri Besar Johor.

Wan Saiful dalam kemas kini di laman Facebook mendakwa Mohd Puad telah beberapa minggu giat melobi untuk menjadi menteri besar menggantikan Hasni sekiranya UMNO menang.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan Hasni yang juga Pengerusi BN Johor akan mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar Johor sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan.

Artikel Berkaitan:


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my