Pasukan e-sukan mohon pertimbangan FAM

Kelvin Pang
Kelvin Pang
A
A
A

PENGURUS pasukan e-sukan negara ke Sukan SEA Hanoi, Kelvin Pang Ching Kuen memohon Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertimbangkan menyenaraikan pemain dipilih menerusi Kejohanan Kelayakan Kebangsaan baru-baru ini bagi menyertai permainan elektronik FIFA Online 4 (FO4) di temasya sukan itu.

Beliau berkata, empat nama yang dicadangkan menerusi Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) itu berpotensi besar untuk menghadiahkan pingat buat negara selain mempunyai rekod memberangsangkan dalam kejohanan terdahulu.

"Kami menyenaraikan empat orang iaitu tiga pemain tetap dan seorang pemain simpanan namun difahamkan permainan itu diletakkan di bawah kuota FAM, jadi keputusan pemilihan pemain yang akan mewakili Malaysia untuk FO4 adalah di bawah mereka.

"Muhammad Faiz Hariry Mohamad Fodzai, Gan Mun Kiat, Wan Muhammad Hakimm Wan Narizan dan Muhammad Asyraf Kamal merupakan nama yang perlu dipertimbangkan untuk dihantar bagi mewakili negara dalam acara tersebut,” katanya.

Kelvin berkata, kesemua nama disenaraikan itu mempunyai rekod cemerlang seperti muncul juara bagi Malaysian Esports Selection 2022 bagi FO4 dan sudah menjalani latihan intensif lebih setahun sebagai persiapan untuk Sukan SEA Hanoi yang dijadualkan dari 12 hingga 23 Mei depan.

Katanya, walaupun MESF menjadi badan induk rasmi bagi e-sukan di negara ini, namun FAM diberikan kuasa untuk membuat pemilihan atlet Sukan SEA bagi permainan FO4, selain turut bertanggungjawab dalam pemilihan atlet bola sepak dan futsal.

Difahamkan senarai pendek nama pemain bagi acara itu akan dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Rabu.

Bagi Sukan SEA kali ini, Malaysia dijangka bersaing dalam acara PUBG Mobile, Free Fire, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Arena of Valor dan League of Legends.

Artikel Berkaitan:

Pada edisi 2019 di Filipina, kontinjen e-sukan negara berjaya membawa pulang emas acara Hearthstone menerusi ahli akademik dalam bidang kejuruteraan elektrik, Dr Yew Weng Kean dan gangsa menerusi pasukan Bosskur bagi acara MLBB. - Bernama