Sempadan negara dibuka 1 April ini

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas di Bangunan Parlimen hari ini.

 -Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas di Bangunan Parlimen hari ini.

 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan sempadan negara akan mula dibuka pada 1 April depan.

Beliau berkata, keputusan tersebut bersandarkan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara-negara lain dan memberi keselesaan kepada pengembara dengan tidak merumitkan perjalanan mereka.

“Saya percaya, ini antara pengumuman besar yang paling dinanti-nantikan oleh rakyat.

“Pengumuman ini juga akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik,” katanya pada Sidang Media Khas yang disiarkan secara langsung menerusi beberapa platform media sosial, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, rakyat Malaysia yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah kini boleh keluar masuk negara seperti biasa serta dibenarkan untuk pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya kepada pengembara luar.

“Rakyat dari negara luar dengan dokumen perjalanan yang sah juga boleh melakukan pergerakan keluar masuk ke Malaysia tanpa perlu lagi memohon MyTravelPass.

“Mereka hanya perlu muat turun dan mengaktifkan aplikasi MySejahtera serta melengkapkan Pre-Departure Form melalui fungsi ‘Traveller’ dalam MySejahtera,” katanya.

Tambah beliau, mengambil kira situasi penularan Covid-19 terutama gelombang Omicron yang masih melanda negara, terdapat beberapa prosedur yang wajib dipatuhi sama ada rakyat Malaysia sendiri mahupun pengembara luar yang ingin masuk ke Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi yang telah menerima vaksinasi lengkap, tiada keperluan untuk menjalani sebarang tempoh kuarantin dan hanya perlu melalui ujian pengesanan Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 dua hari sebelum berlepas serta ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.

“Bagi status vaksinasi lain seperti tidak menerima vaksin atas sebab perubatan dan tidak menerima sebarang vaksinasi, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan memperincikan prosedurnya untuk makluman umum esok (Rabu).

“Kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan senarai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan negara ini secara lebih terperinci dalam waktu terdekat terutama berhubung prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut,” katanya.