KKM terima 94 laporan AEFI PICKids

Noor Azmi
Noor Azmi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima 94 laporan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) ke atas penerima vaksin Covid-19 berumur lima hingga 11 tahun.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, data yang diperoleh sehingga 25 Februari lalu itu bersamaan kadar 0.1 laporan bagi setiap 1,000 dos.

“Daripada 94 laporan yang diterima, hanya dua laporan yang dikategorikan sebagai serius. Kesan yang paling kerap dilaporkan termasuk demam, stres terhadap suntikan atau proses vaksinasi, reaksi kegatalan pada kulit, pening dan sakit kepala.

“Kadar pelaporan AEFI bagi golongan kanak-kanak ini adalah lebih rendah berbanding kadar keseluruhan iaitu 0.4 bagi setiap 1,000 dos.

“Bagi dua kes serius pula, hubung kait kesan advers dengan vaksin masih perlu dinilai dan disahkan secara klinikal,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Shamsul Iskandar (PH-Hang Tuah Jaya) yang bertanya mengenai perancangan perlindungan kepada kanak-kanak yang divaksin.

Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, semua kes serius yang dilaporkan akan disiasat secara menyeluruh oleh pasukan penyiasat yang ditubuhkan di fasiliti kesihatan terlibat.

Katanya, laporan penyiasatan itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) untuk penilaian hubungkait antara kesan sampingan dan vaksin diambil berdasarkan hasil penyiasatan yang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, seramai 1,041,733 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima dos pertama vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Katanya, jumlah kes Covid-19 melibatkan individu berumur kurang daripada 18 tahun adalah sebanyak 748,037 kes.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 301,268 kes melibatkan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun. Selain itu, kematian dalam kalangan populasi berumur 18 tahun dan ke bawah adalah berjumlah 157 kes.

“Sebanyak 39 atau 24.8 peratus kes kematian adalah melibatkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun,” katanya.