Sila log masuk terlebih dahulu.

Ahmad Zahid jumpa wakil UKSB di rumah sebelum sambung kontrak

Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa. - Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi pada Selasa diberitahu bahawa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertemu dengan wakil Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) di rumahnya di Seri Satria, Putrajaya sebelum membuat keputusan menyambung kontrak Visa Luar Negara (VLN) syarikat itu selama tiga tahun lagi.

Bekas Setiausaha Bahagian (SUB) Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Shahril Ismail berkata, bekas timbalan perdana menteri itu turut menolak syor daripada bahagiannya untuk membawa perkara itu ke Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).

"Pada 15 Jun 2017, saya telah menerima panggilan daripada Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (pengarah UKSB) dan beliau memberitahu bahawa Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) telah bersetuju untuk melanjutkan kontrak UKSB selama tiga tahun dan meminta saya untuk membawa minit ceraian tersebut ke rumah Datuk Seri Zahid di Seri Satria di Putrajaya untuk kelulusan menteri tersebut.

"Sampai di rumah Datuk Seri Zahid, Wan Quoris Shah sedang menunggu saya dan menyatakan perlu menunggu ‘green light dahulu’ berikutan wakil syarikatnya sedang berjumpa dengan Datuk Seri Zahid.

"Kemudian beliau mengajak saya masuk dan berjumpa Datuk Seri Zahid. Apabila berjumpa dengan Datuk Seri Zahid, saya telah menyerahkan minit ceraian tersebut untuk keputusan dan tandatangan beliau. Saya juga ada memaklumkan syor bahagian saya,” katanya dan menjelaskan perjumpaan itu dibuat pada bulan puasa beberapa hari sebelum Hari Raya.

Beliau berkata sedemikian ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Zander Lim Wai Keong.

Ketika ditanya TPR, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, sama ada menjadi kebiasaan untuk wakil syarikat berbincang di rumah menteri (Ahmad Zahid) bagi mendapatkan kontrak kerajaan, Shahril berkata, ia perkara biasa kerana beliau pernah membawa dokumen ke rumah menteri.

"... tetapi tentang stake holder (wakil syarikat) ini saya rasa ini yang pertama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata, pertemuannya bersama bekas menteri dalam negeri dan Wan Quoris Shah di kediaman tertuduh diadakan berikutan pihaknya memaklumkan kepada pengarah UKSB itu bahawa pelanjutan kontrak VLN selama enam tahun itu perlu diproses oleh UKAS dan diluluskan jemaah menteri.

"Wan Quoris Shah kemudian memaklumkan bahawa beliau akan berbincang dengan Datuk Seri Zahid mengenai perkara ini,” katanya.

UKSB sebelum ini telah menerima kontrak membekalkan sistem VLN di China selama enam tahun bermula dari 1 November 2013 hingga 31 Oktober 2019.

Menurut tatacara pelanjutan kontrak perkhidmatan, mana-mana syarikat yang ingin dilanjutkan kontrak melebihi tujuh tahun perlu mendapatkan kelulusan daripada jemaah menteri melalui UKAS.

Menjawab soalan TPR, Datuk Raja Rozela Raja Toran mengenai keperluan untuk membawa minit ceraian ke rumah Ahmad Zahid pada hari tersebut, Syahril berkata, ia bagi mendapatkan keputusan secara bertulis daripada menteri itu.

"Sebelum ini kami hanya menerima satu arahan berbentuk lisan daripada Wan Quoris Shah bahawa syarikat itu sudah berbincang dengan menteri (Ahmad Zahid), katanya menteri tidak bersetuju dengan keputusan bahagian kami.

"Jadi untuk sahkan keputusan menteri itu, saya jumpa terus menteri bagi mendapatkan keputusan hitam putih. Keputusan lisan seperti itu (makluman Wan Quoris Shah) kami tidak boleh proses, kami perlu keputusan bertulis atas dokumen rasmi kerajaan barulah kami proses. Keputusan lisan kami anggap tidak sah,” katanya.

Rozela: Terima arahan dari Wan Quoris Shah?

Sharil: Ya

Rozela: Wakil syarikat beri arahan kepada pegawai kerajaan?

Sharil: Lebih kepada makluman

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung 1 April depan. - Bernama