Sila log masuk terlebih dahulu.

MPIC sedang usahakan rasionalisasi subsidi untuk minyak masak

MPIC kini sedang mengusahakan rasionalisasi subsidi yang disasarkan untuk minyak masak. - Gambar hiasan
MPIC kini sedang mengusahakan rasionalisasi subsidi yang disasarkan untuk minyak masak. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) kini sedang mengusahakan rasionalisasi subsidi yang disasarkan untuk minyak masak, dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun, kata Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, usaha itu digerakkan susulan perbincangannya dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semasa pemukiman kementerian bulan lepas.

"Kami mahu membantu mereka yang memerlukan pada masa minyak sawit mentah (MSM) didagangkan pada harga yang tinggi," katanya kepada pemberita pada Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik yang dianjurkan oleh Bursa Malaysia pada Selasa.

Zuraida berkata, buat masa ini, kerajaan telah memperuntukkan subsidi untuk 720,000 tan minyak masak.

Perang Rusia-Ukraine merupakan faktor utama dalam lonjakan harga minyak sawit mentah kepada RM8,000 setan minggu lalu, dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia meramalkan harga minyak makan itu kekal melebihi paras RM5,000 setan sekurang-kurangnya untuk separuh pertama 2022.

Tahun lepas, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Kewangan telah memperuntukkan RM600 juta berbanding RM528 juta pada 2020 untuk melaksanakan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).

COSS merupakan program subsidi minyak masak yang bertujuan untuk meringankan beban pengguna dalam menangani kos sara hidup.

Subsidi ini diberikan kepada minyak masak yang dibungkus dalam polibeg seberat 1 kilogram (kg) dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik RM2.50 sepeket.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zuraida berkata, kementeriannya juga komited untuk menyatukan peneroka kecil bagi meningkatkan produktiviti dan hasil minyak sawit dalam kalangan mereka dengan efisien.

Ini, katanya, akan dilakukan melalui penubuhan koperasi yang sudah pun berlaku sekarang.

"Pada masa ini kita mempunyai 62 koperasi yang telah ditubuhkan. Jadi koperasi ini sedang mengumpul ahli dan kita sedang mencari satu koperasi untuk menjadi efektif, dari segi pengurusan kosnya,” kata beliau sambil menambah setiap koperasi menyasarkan mempunyai kira-kira 1,500 ahli.

Malaysia pada masa ini mempunyai kira-kira 250,000 pekebun kecil, kata Zuraida.

Menteri itu juga berharap sektor minyak sawit dapat meningkatkan pengeluarannya kepada 20 juta tan tahun ini berbanding 18 juta tan yang dicatatkan tahun lepas, dengan kemasukan buruh asing pada Mei/Jun ini.

"Pengeluaran minyak sawit dijangka meningkat menjelang suku ketiga tahun ini berikutan peningkatan tenaga kerja asing, justeru harga MSM mungkin akan turun sedikit," katanya. - Bernama