Mira Filzah bawa tiga peminat bertuah ke Taiwan

Mira Filzah meraikan pemenang bertuah yang bakal dibawa terbang ke Taiwan April ini.
Mira Filzah meraikan pemenang bertuah yang bakal dibawa terbang ke Taiwan April ini.
A
A
A

PELAKON dan pengacara Mira Filzah, dengan kolaborasi bersama Taiwan Tourism Bureau (Taiwan Tourism) telah menganjurkan sebuah peraduan, yang mana tiga peminat bertuah memenangi percutian yang ditanggung semuanya selama 5 hari, 4 malam ke Taiwan.

Pemenang akan meluang masa sepetang bersama Mira Filzah pada acara `Meet & Greet’ di bandar Taipei, April depan. Pemenang utama, Wan Muhd Faizul Adli, Mohd Amin dan Nur Othman telah menyiar video kreatif pada akaun Instagram mereka dan melengkapkan ayat, "Saya mahu ke Taiwan Bersama Mira Filzah kerana....".

Usaha mereka itu menawan hati Taiwan Tourism dan Mira Filzah, menjadikan mereka tiga pemenang hadiah utama pakej percutian bernilai RM2,788 setiap satu.

Pengumuman pemenang telah dilakukan di gerai Taiwan Tourism pada Pameran MATTA Fair 2019 Sabtu lepas. Mira turut hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang utama dan hadiah sagu hati kepada tujuh lagi pemenang.

Faizul, 37, dari Sepang begitu gembira ketika ditemui selepas menerima hadiah utama.

“Saya telah mengikuti Mira Filzah dan perkembangannya selama empat tahun. Saya amat meminati beliau kerana personalitinya yang menarik, manis dan pada masa sama sukakan aktiviti lasak. Sebagai seorang ikon remaja, beliau adalah inspirasi saya. Jadi apabila saya mendapat tahu mengenai peraduan ini, saya cukup teruja sebab inilah peluang bertemu idola saya.

"Lagi pun, saya ingin menikmati Taiwan, destinasi pelancongan yang mesra Muslim buat pertama kali. Saya ucapkan terima kasih kepada Mira Filzah dan Taiwan Tourism kerana menganjurkan peraduan ini dan saya tidak sabar-sabar untuk terbang ke Taiwan April ini!,” kata Faizul.

Peraduan tersebut diadakan bersempena Salam Taiwan, sebuah kempen oleh Taiwan Tourism bagi menonjolkan aspek mesra Muslim negara pulau itu. Salam Taiwan dilancarkan tahun lalu dengan Mira Filzah sebagai Duta Pelancongan Taiwan Tourism Bureau.

Artikel Berkaitan:

Taiwan pada masa ini, disenaraikan di tangga kelima dalam kategori bukan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) terdahulu dan terus bekerjasama erat dengan Persatuan Cina Muslim, Pusat Halal Taiwan dan Persatuan Islam Taiwan. Menerusi usaha-usaha ini, pelancong Muslim kini boleh menikmati Taiwan dengan selesa kerana lebih banyak fasiliti dan kemudahan mesra Muslim telah disediakan.

Ini termasuk makanan dan minuman diperakui halal, hotel-hotel dan bilik solat selesa di kawasan awam. Bagi pelancong yang mencari buah tangan, kosmetik dan penjagaan kulit halal adalah antara barangan yang disaran untuk dibeli sebagai buah tangan kepada keluarga dan sahabat-handai.

Sebagai sebahagian daripada promosi Salam Taiwan, Taiwan Tourism menawarkan Pakej Pelancongan Salam Taiwan istimewa yang merangkumi penerbangan menerusi China Airlines, penginapan, makanan dan paling penting akses eksklusif kepada acara Meet & Greet Bersama Mira Filzah di Taiwan.

#sihataktif #jomrelaks