Muktamad pemilihan teknologi satelit tahun ini bagi hadapi bencana

Zahidi (kanan) melihat gambar-gambar liputan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sepanjang Pilihan Raya Negeri Johor ketika melawat Pusat Operasi Bernama, pada Selasa. - Foto Bernama
Zahidi (kanan) melihat gambar-gambar liputan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sepanjang Pilihan Raya Negeri Johor ketika melawat Pusat Operasi Bernama, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemilihan teknologi satelit bagi menambah baik sistem komunikasi negara ketika berdepan situasi bencana khususnya banjir, dijangka dimuktamadkan tahun ini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan satelit berteknologi tinggi yang dapat membantu Jabatan Meteorologi dan agensi berkaitan ketika negara menghadapi bencana.

Menurutnya beberapa syarikat antarabangsa sudah mengemukakan cadangan tawaran teknologi masing-masing kepada kementerian dan penilaian pemilihan akan dilakukan secara terperinci mengambil kira pelbagai aspek.

"Ini usaha KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) dalam mengenal pasti banjir, seperti jangkaan berlaku di mana, kedalamannya dan lain-lain sekiranya kita menggunakan teknologi terkini.

"Kita berharap rakyat dapat bersabar kerana peruntukan juga tidak banyak berikutan masalah-masalah lain seperti Covid-19, Perintah Kawalan Pergerakan, kerana banyak belanja telah dikeluarkan (oleh kerajaan) dalam membantu rakyat. Kita sedang berbincang bagi mendapatkan teknologi tercanggih dengan bayaran agak minimum atau bayar kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Pusat Operasi Bernama dan Pusat Media KKMM bagi Pilihan Raya Negeri Johor di sini pada Selasa.

Beliau diminta mengulas mengenai sistem amaran awal bencana susulan banjir kilat di Lembah Klang semalam.

Zahidi berkata, penggunaan teknologi satelit termasuk satelit rangkaian 5G turut dapat membantu dalam pengurusan situasi bencana alam seperti menghantar amaran awal bencana kepada orang awam. - Bernama

Artikel Berkaitan: