Pukul isteri dengan meja kopi

Lelaki direman 4 hari untuk siasatan lanjut bagi kes mendatangkan kecederaan terhadap isterinya.
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara perselisihan faham, seorang isteri cedera di tangan kerana dipercayai dipukul dengan meja kopi oleh suaminya dalam kejadian di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus tengah malam tadi.

Difahamkan, pertengkaran berlaku antara pasangan berkenaan kerana mendakwa isterinya yang sedang mengandung 12 minggu itu cemburu, sebelum lelaki itu naik angin lalu mencapai meja kopi di kediaman mereka dan memukulnya.

Menurut sumber, tidak tahan dengan tindakan suaminya, mangsa yang berusia 30-an itu kemudiannya menghubungi pihak berkuasa dan memaklumkan dia mengalami kecederaan akibat dipukul suaminya sendiri, kira-kira jam 12.07 tengah malam.

“Anggota polis dari Balai Polis Gong Badak yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah telah menerima panggilan tentang kes berkenaan, sebelum bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam.

“Suspek yang ketika itu berada di hadapan kediaman, kemudiannya ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Wan Aziantie Wan Ab Karim@Isa membenarkan suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia