Conte cabar Spurs layak ke Liga Juara-Juara

Son (kanan) meraikan jaringannya bersama Kane selepas membantu pasukannya menewaskan Everton 5-0 di Stadium Tottenham awal pagi Selasa.
Son (kanan) meraikan jaringannya bersama Kane selepas membantu pasukannya menewaskan Everton 5-0 di Stadium Tottenham awal pagi Selasa.
A
A
A

PENGENDALI Tottenham Hotspur, Antonio Conte berpandangan, sekiranya Spurs berjaya untuk layak ke Liga Juara-Juara pada musim hadapan ia seumpama mereka telah memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Justeru pengurus kelahiran Itali itu mencabar pasukannya untuk mengakhiri musim ini di kedudukan keempat terbaik dalam saingan EPL selepas skuad Lilywhites itu membelasah Everton, 5-0 di Stadium Tottenham awal pagi Selasa.

"Perlawanan yang bagus. Ia juga jawapan yang bagus selepas kekalahan terakhir direkodkan pada minggu lalu. Bagaimanapun keputusan tersebut masih belum mencukupi dan saya mahu pasukan bertarung untuk mengakhiri musim ini di kedudukan empat terbaik.

"Justeru, kami perlu mengambil tanggungjawab dalam 12 perlawanan terakhir untuk memberikan apa sahaja. Saya mahukan jawapan daripada pemain saya ketika berdepan Manchester United pada Sabtu.

"Saya mahu melihat sama ada kami akan menjadi lebih baik dalam perlawanan mencabar menentang pasukan penting yang bertarung dengan kami untuk empat tempat teratas,”katanya.

Pada aksi tersebut, Spurs memulakan kenduri gol di utara London dengan jaringan sendiri Michael Keane pada minit ke-14.

Pemain sayap, Son Heung-min kemudiannya meletakkan Spurs selesa di hadapan sebelum Harry Kane meledak gol ketiga sebelum tamat babak pertama.

Sergio Reguilon menambah derita The Toffees apabila menjaringkan gol keempat perlawanan sebelum Kane menamatkan malam gemilang Spurs apabila sekali lagi menemui gawang untuk melengkapkan kemenangan.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan tersebut menyaksikan Spurs kini berada di kedudukan ketujuh, tiga mata di belakang pasukan tangga keempat, Arsenal.