Cadang pertimbang tanaman ganja

Mohd Shaid Rosli
Mohd Shaid Rosli
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor dicadang supaya dapat mempertimbangkan untuk melaksanakan penanaman ganja bagi tujuan perubatan di negeri ini.

Adun Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, menerusi Akta Dadah Merbahaya 1952 telah menyatakan bahawa mana-mana jabatan kerajaan boleh membuat penanaman ganja bagi tujuan perubatan.

Untuk tujuan itu, beliau berkata satu kajian bagi penanaman ini telah dilaksanakan oleh Pengarah Pusat Racun Negara Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Mohamed Isa Abd. Majid dengan kerjasama sebuah syarikat tempatan dalam usaha menjadikan industri ini sebagai tanaman komersil untuk tujuan penyelidikan perubatan serta eksport.

"Apa yang penting kajian ini dibolehkan sekiranya mendapat kelulusan menteri kesihatan.

"Memandangkan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor, jadi kerajaan negeri boleh memberi kerjasama untuk bincang mengenai penanaman, pemprosesan serta pengeksportan ganja yang dapat memberi pulangan lumayan," katanya ketika membahaskan ucapan junjung kasih atas titah Sultan Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shaid berkata, tanaman ganja dapat memberi pulangan besar iaitu sekitar RM9 juta setahun bagi keluasan tanah satu ekar meliputi tiga kali proses penuaian.

Beliau berkata, jumlah ini dilihat melebihi pulangan tanaman sawit yang hanya memperoleh sekitar RM3,000 bagi tanaman berkeluasan satu ekar.

"Dan sekiranya Selangor dapat mengusahakan lebih daripada 100 ekar, kita akan jadi pengeluar terbesar di negara ini yang turut memberi pulangan lumayan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Shaid berkata lokasi bagi penanaman dan pemprosesan juga dicadangkan dilaksanakan di satu kawasan dan ia hanya boleh diakses oleh pihak tertentu sahaja.

Tambah beliau, pelaksanaan ini juga akan memberi peluang pekerjaan kepada orang ramai khususnya rakyat di negeri ini.

"Jangan risau mengenai pasaran gelap dan sebagainya kerana kita perlu ketatkan sistem agar tidak berlaku ketirisan serta penagihan di kalangan masyarakat," katanya.