Impak pembukaan sempadan kepada negara

Jika sempadan dibuka, Malaysia dijangka menerima jumlah kemasukan pelancong mencecah 28 juta orang setiap tahun yang membolehkan negara memperoleh RM80 bilion pelaburan setahun dan RM30 bilion bagi pelaburan domestik. - Foto 123rf
Jika sempadan dibuka, Malaysia dijangka menerima jumlah kemasukan pelancong mencecah 28 juta orang setiap tahun yang membolehkan negara memperoleh RM80 bilion pelaburan setahun dan RM30 bilion bagi pelaburan domestik. - Foto 123rf
A
A
A

SETELAH dua tahun sempadan negara ditutup akibat pandemik Covid-19, akhirnya saat dinanti-nantikan hampir tiba apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa kerajaan bersetuju untuk membuka semula sempadan negara tidak lama lagi.

Pengumuman itu sudah tentu menggembirakan rakyat Malaysia terutama yang hilang pekerjaan kesan penutupan sempadan negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ia merupakan berita baik terutama untuk sektor pelancongan, sekali gus memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik.

Penutupan sempadan negara dilihat tidak menunjukkan impak yang ketara dari segi pengawalan jangkitan Covid-19 apabila kes terus melonjak. Ia sebaliknya memberi impak yang serius kepada ekonomi, perniagaan dan sumber pendapatan rakyat mengakibatkan kerajaan terpaksa memberi bantuan berterusan kepada rakyat memerlukan terutama golongan B40 untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Beberapa sektor pelancongan khususnya para peniaga kraftangan, operator pusat pelancongan, pengusaha hotel dan resort akan terus mengalami kerugian sekiranya sempadan masih belum dibuka.

Menurut Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M Saaid, sektor perhotelan mengalami kerugian lebih RM7 bilion pada tahun lalu dan RM6.5 bilion pada tahun 2020 akibat aktiviti pelancongan disekat.

Jelas beliau, tiada sebab untuk tidak membuka pintu sempadan kerana negara telah mencapai imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta pemberian dos penggalak yang semakin meluas.

Perkara ini perlu diambil perhatian kerana terdapat ratusan hotel terpaksa gulung tikar akibat tidak mampu menampung kos penyelenggaraan serta tidak mendapat pulangan modal kerana hanya bergantung harap kepada pelancong domestik.

Artikel Berkaitan:

Walaupun sektor ekonomi telah dibuka, namun ia tidak cukup untuk memacu ekonomi negara kerana Malaysia perlu menarik pelancong luar datang.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, jika sempadan dibuka, Malaysia dijangka menerima jumlah kemasukan pelancong mencecah 28 juta orang setiap tahun yang membolehkan negara memperoleh RM80 bilion pelaburan setahun dan RM30 bilion bagi pelaburan domestik.

Sehubungan itu, ujar beliau, Malaysia seharusnya mengambil langkah segera membuka sempadan negara. Sebagai contoh, Australia telah membuka sempadan mereka walaupun negara itu terkebelakang dalam vaksinasi berbanding Malaysia.

Walaupun Malaysia masih berhadapan dengan pandemik Covid-19, kerajaan perlu bertindak bijak dalam mengawal penyebaran jangkitan, dalam masa sama memulihkan semula ekonomi yang terjejas teruk menerusi pembukaan sempadan ini.

Rentetan peningkatan kes dilaporkan meningkat saban hari, rata-rata netizen di media sosial juga menyuarakan rasa khuatir Malaysia akan berhadapan dengan gelombang pandemik lebih besar sekiranya sempadan negara dibuka nanti.

Walaupun Malaysia sudah mencapai imuniti kelompok namun kes kematian akibat Covid-19 di negara ini juga masih tinggi.

Jadi, langkah penting untuk mengawal jangkitan Covid-19 adalah dengan meningkatkan kadar vaksinasi terutama kepada golongan kanak-kanak serta pemberian dos penggalak kepada golongan dewasa agar Malaysia berada di landasan yang betul menuju ke fasa endemik.

Justeru, penulis berharap agar kerajaan dapat mengawal penularan kes Covid-19 apabila sempadan dibuka nanti agar umat Islam di negara ini dapat menyambut Aidilfitri di kampung setelah dua tahun tidak dapat beraya bersama keluarga akibat sekatan kawalan pergerakan.

* Mohammad Helmi Zulkefle ialah Pembantu Penerbit Digital Sinar Harian