Empat daerah di Negeri Sembilan terkesan banjir kilat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Empat daerah di Negeri Sembilan dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat berterusan beberapa jam sejak petang Isnin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan Lefternan Kolonel (PA) Mohd Syukri Md Nor berkata kawasan berkenaan melibatkan Rumah Murah Bahau, Jempol; Empangan Gemencheh, Tampin dan Felda Titi, Jelebu; serta Kampung Bembang Panas Rumah Mesra Rakyat, Kuala Pilah.

"Di Jempol melibatkan 27 mangsa daripada tujuh keluarga, satu keluarga (Tampin), dua keluarga (Kuala Pilah) manakala di Jelebu tiada mangsa dilaporkan, namun jalan utama ke kuaters Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar Jelondon dan Felda Titi, runtuh akibat hakisan air sungai,” katanya kepada Bernama di sini pada malam Isnin.

Beliau berkata keadaan masih terkawal dan air telah mulai surut sepenuhnya, serta tiada pusat pemindahan sementara dibuka setakat ini.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan Ir Wan Hasnan Wan Musa memaklumkan, jalan di Felda Titi-Jelondong yang runtuh siang tadi itu ditutup mulai 9 malam kepada semua kenderaan kecuali motosikal, kerana berisiko untuk runtuh sepenuhnya.

"Keadaan cuaca hujan mulai renyai dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa. Pemantauan situasi di kawasan kejadian masih dilakukan setakat ini, dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengelak laluan itu sehingga kerja-kerja membaik pulih disiapkan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: