Tunjang 2 manifesto PN realistik, demi keutuhan ekonomi Johor

A
A
A

Kestabilan politik merupakan tunjang kepada kestabilan ekonomi dan dapat memberi keyakinan kepada pelabur khususnya pelabur asing untuk melabur di Johor dan Malaysia amnya.
Kestabilan politik merupakan tunjang kepada kestabilan ekonomi dan dapat memberi keyakinan kepada pelabur khususnya pelabur asing untuk melabur di Johor dan Malaysia amnya.

SHAH ALAM - Tunjang keutuhan ekonomi Johor yang dijanjikan dalam ikrar Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh Perikatan Nasional (PN) dilihat realistik dan boleh dilaksanakan.

Inisiatif keutuhan ekonomi yang mengandungi tiga strategi utama iaitu memperkasakan masa depan ekonomi Johor, memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta menjana peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi juga bertepatan dengan fokus kerajaan di peringkat pusat.

DR MOHD FAISOL
DR MOHD FAISOL

Pandangan tersebut disuarakan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim yang berpendapat ia mengambil kira faktor dan dasar perancangan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Beliau berkata, tempoh sedekad yang diletakkan sebagai tempoh unjuran strategi pelaksanaan untuk mencapai hasrat memperkasakan ekonomi Johor juga realistik.

Artikel Berkaitan:

“Ia juga sesuai dengan isu pandemik Covid-19 yang masih belum lagi berkesudahan dan memberi impak negatif kepada negara.

“Maka pelan menubuhkan sebuah task force bagi menangani isu ini yang menjadi keutamaan PN dilihat amat bertepatan dan wajar disokong oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Perkembangan Revolusi Industri 4.0 juga diberi penekanan dengan strategi BAHAROMmenaik taraf infra digital sedia ada kerana ia mampu menarik pelabur-pelabur antarabangsa untuk datang melabur ke Johor,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Mohd Faisol berkata, dalam memastikan inisiatif yang dirancang ini dilaksanakan sekiranya PN berjaya memenangi PRN Johor, semua pihak yang terlibat dengan strategi ini perlu memainkan peranan masing-masing dengan penuh integriti agar isu kelompongan dan keciciran dapat dielakkan.

Beliau berkata, pihak pemerintah dan pembangkang perlu bersama-sama dalam menjayakan strategi berkenaan dengan mengenepikan ideologi parti masing-masing demi memperkasa kembali ekonomi Johor dan kesejahteraan rakyat di negeri selatan selepas PRN ini.

“Kerajaan Persekutuan perlu menjadi dan memainkan peranan sebagai pemudahcara bagi memastikan strategi ini mampu dilaksanakan tanpa ada kekangan.

“Selain itu, rakyat Johor juga perlu bersama-sama dengan pemerintah bagi mempercepatkan proses pelaksanaan strategi ini tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Berpotensi

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Profesor Madya Dr Baharom Abdul Hamid pula berpendapat inisiatif yang dijanjikan PN terutamanya Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022-2032 disifatkan baik dan mempunyai potensi yang tersendiri.

DR BAHAROM
DR BAHAROM

Bagaimanapun katanya, pelan 10 tahun itu seharusnya mempunyai dasar lapor dan ukur supaya perkembangan serta proses pembangunan yang dilaksanakan itu dapat dilihat secara menyeluruh.

“Pelan ini bagus tetapi ia harus dilaksanakan dengan perancangan yang baik. Maksudnya sebelum pelan ini dibuat, mestilah dikaji terlebih dahulu. Tentu ada perbezaan antara daerah-daerah di Johor, daerah mana yang paling maju, daerah mana yang paling ketinggalan, daerah mana yang tercicir.

“Daerah yang tercicir ini perlu diberi pembangunan ekonomi terlebih dahulu tanpa mengira kawasan itu pembangkang atau sebagainya. Pelan ini juga perlu mengukur kemajuan masa kini iaitu melalui ukur dan lapor. Ukur dan lapor bermaksud dalam tempoh 10 tahun itu, setiap tahun mestilah diukur bagi melihat sejauh mana ia berupaya menaikkan ekonomi atau sejauh mana jurang dirapatkan,” jelasnya.

Justeru katanya, daripada pengukuran itu rakyat boleh mengetahui sejauh mana kejayaan dan kemampuan kerajaan yang dipilih mereka dalam melaksanakan inisiatif yang dijanjikan menerusi ikrar mereka itu.

“Lazimnya dari segi perancangan dan manifesto memang gah tetapi rakyat tidak tahu apa yang berlaku dan ke mana wang disalurkan. Eloklah budayakan perkara baharu dan peluang untuk sesiapa sahaja yang mentadbir Johor perlu datang dengan perancangan ukur dan lapor,” katanya.

Menurutnya, secara asasnya Johor merupakan antara negeri yang sangat berpotensi dalam sektor ekonomi dengan mengambil kira dari segi lokasi, infrastruktur dan kedudukannya yang bersempadan dengan Singapura.

Dalam pada itu, Baharom turut berharap semua parti politik yang bertanding dapat menjanjikan kestabilan politik.

Katanya, kestabilan politik merupakan tunjang kepada kestabilan ekonomi dan dapat memberi keyakinan kepada pelabur khususnya pelabur asing untuk melabur di Johor dan Malaysia amnya.

“Hanya ekonomi yang stabil sahaja boleh meraih lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) masuk.

“Apabila keadaan politik stabil barulah prasarana dapat disediakan sesuai dengan aktiviti ekonomi. Manifesto perlu ditunaikan bukan sekadar pengisian dan hanya dilakukan sebagai senjata ‘perang’ untuk selesaikan masalah politik semata-mata. Jika ini berlaku, fokus untuk tingkatkan ekonomi tidak akan berjaya,” katanya.

PN melancarkan ikrar ‘Demi Bangsa Johor’ di Johor Bahru pada 2 Mac lalu.
PN melancarkan ikrar ‘Demi Bangsa Johor’ di Johor Bahru pada 2 Mac lalu.

TUNJANG 2 - Keutuhan Ekonomi

STRATEGI 1

Memperkasa Masa Depan Ekonomi Johor:

1. Menyediakan Pelan Sedekad Ekonomi Johor 2022-2032 yang menyeluruh dan holistik dengan: Mengutamakan penglibatan semua lapisan masyarakat.

- Mengambil kira impak pandemik Covid-19.

- Menumpukan kepada industri strategik dan berimpak tinggi, termasuk infra digital, pengangkutan awam moden, penjanaan tenaga hijau dan pertanian pintar.Matlamat menjadikan ekonomi Johor berdaya saing di peringkat serantau dan antarabangsa.

2. Menubuhkan Task Force Pulih Johor bagi melaksana inisiatif pemulihan ekonomi dan kebajikan pekerja yang terkesan akibat pandemik Covid-19 khususnya penutupan sempadan Johor – Singapura.

3. Menyediakan insentif khas bagi menggalakkan penyertaan pelabur asing dan domestik dalam industri strategik dan berimpak tinggi seperti petroleum, infra digital serta elektrikal dan elektronik dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

4. Mempercepatkan pelaksanaan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) bagi menjadi hab industri hiliran minyak dan gas serantau dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Petronas.

5. Merancakkan pembangunan Zon Ekonomi Khas Pagoh, termasuk menarik pelabur daripada syarikat gergasi tempatan dan antarabangsa.

6. Mengoptimumkan potensi hab logistik Gerbang Selat Melaka - Johor dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf pelabuhan utama bagi meningkatkan aksesibiliti, kemudahan logistik dan integrasi dengan kawasan perindustrian sekitar.

7. Memperkasakan Johor sebagai hab pengeluaran makanan negara dengan meningkatkan produktiviti taman kekal pengeluaran makanan dan zon pengeluaran makanan serta memperkukuhkan rantaian bekalan melalui penggunaan teknologi digital dan penambahbaikan prasarana.

8. Menjadikan Johor sebagai hab digital negara dengan menarik pelabur daripada syarikat teknologi antarabangsa serta menyediakan akses kepada tenaga hijau dan pekerja mahir dalam kalangan anak Johor.

9. Merancakkan pembangunan industri tenaga hijau dengan memudah cara penyediaan tanah ladang solar, penggunaan sisa sawit dan pertanian untuk biojisim serta pemberian insentif khas pembangunan tenaga angina.

10. Mengukuhkan kerjasama ekonomi serantau Johor - Indonesia - Singapura melalui kolaborasi pemain industri utama serta pusat penyelidikan dalam bidang pelancongan, kesihatan dan agromakanan.

11. Menjadikan wilayah utara Johor sebahagian daripada Koridor Ekonomi Pantai Timur bagi mengoptimumkan potensi pembangunan ekonomi kawasan berkenaan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

12. Mengoptimumkan hasil pertanian dan perikanan serta industri hiliran yang bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi digital, peralatan moden dan pemasaran yang cekap dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan.

STRATEGI 2

Memperkasa PMKS Sebagai Pemangkin Ekonomi:

1. Memberikan pengecualian sepenuhnya bayaran lesen perniagaan bagi PMKS di seluruh negeri Johor untuk tempoh 5 tahun.

2. Memperkenalkan Skim Prihatin PMKS bagi membantu usahawan Johor yang terkesan akibat pandemik COVID-19 menerusi bantuan dana, kemahiran dan latihan.

3. Merancakkan penglibatan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negeri Johor dengan menyediakan hab PMKS yang dilengkapi dengan kemudahan bersesuaian mengikut keunikan sektor ekonomi kawasan berkenaan.

4. Meningkatkan kerjasama PMKS dengan syarikat berkaitan Kerajaan (GLCs) dan pemain industri utama serta institusi latihan kemahiran bagi memaksimumkan potensi PMKS.

STRATEGI 3

Menjana Peluang Pekerjaan Berkualiti Dan Berpendapatan Tinggi:

1. Menstruktur semula ekonomi negeri dengan memberi fokus kepada penyediaan pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi dalam industri strategik serta meningkatkan peluang pekerjaan mahir dan separa mahir untuk semua lapisan masyarakat.

2. Menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan bagi graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) melalui kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri, pemain industri antarabangsa serta institusi TVET.

3. Memperkasakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula (reskilling and upskilling) bagi meningkatkan kebolehpasaran pekerja dan padanan pekerjaan.