Lebih 50 rumah terjejas banjir kilat di Rawang, Sungai Buloh

Keadaan banjir kilat di Kampung Melayu Seri Kundang, di sini pada Isnin.
Keadaan banjir kilat di Kampung Melayu Seri Kundang, di sini pada Isnin.
A
A
A

RAWANG - Lebih 50 rumah di kawasan sekitar sini terkesan akibat banjir kilat yang melanda pada petang Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebanyak empat kawasan yang dilanda banjir kilat di sini iaitu di Kampung Gombak, Kampung Melayu Seri Kundang dan Kampung Sungai Serai.

Menurutnya, satu panggilan kecemasan diterima oleh pihaknya pada jam 3.34 petang di Kampung Gombak dan seramai sembilan anggota berlainan pangkat bergegas ke tempat kejadian.

"Banjir kilat berpunca daripada air di tempat tinggi turun ke kawasan perumahan berhampiran dan melibatkan tiga buah rumah.

"Air pada kedalaman 0.3 meter itu tidak memasuki kediaman dan didapati semakin surut," katanya dalam satu laporan pada Isnin.

Pihak bomba tiba di kawasan banjir kilat di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh untuk misi menyelamat.
Pihak bomba tiba di kawasan banjir kilat di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh untuk misi menyelamat.

Dalam pada itu, Norazam turut memaklumkan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam banjir kilat tersebut dan tiada pemindahan dibuat setakat ini.

Dalam perkembangan lain, kejadian banjir kilat turut melanda di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh pada hari sama.

Artikel Berkaitan:

Kejadian tersebut tular di media sosial yang mana penduduk sekitar memuat naik gambar dan video kejadian banjir yang melanda kawasan tersebut sekitar jam 3 petang.

Salah seorang penduduk di sini, Farhana Mohamad Zabri, 35, berkata air di kawasan rumahnya mula naik sekitar jam 3 petang selepas hujan lebat selama 30 minit.

Katanya, banjir kilat lebih deras berbanding pada Januari lalu akibat limpahan air daripada saliran yang tidak mampu menampung air tersebut.

"Kedalaman air kali ini tidak tinggi, hanya 0.2 meter, tapi air yang mengalir kali ini sangat deras berbanding Januari lalu.

"Air pun tidak masuk ke rumah kerana ada tembok dibina dan tiada barang yang rosak, hanya basah sedikit," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Norazam turut memaklumkan beberapa kawasan perumahan di Meru, Klang dilanda banjir kilat ekoran hujan berterusan pada petang Ahad.

Katanya, kejadian itu dilaporkan di Taman Seri Meru, Jalan Teratai, Jalan Kenangan, Pekan Meru dan Taman Meru 3 di sini.